TINDAKAN pengadil perlawanan menegur M.Thinaah menghempas raket ketika meraikan mata kemenangan set kedua, dan menghentikan perlawanan yang sedang berlangsung pada set penentuan, menimbulkan rasa tidak puas hati Pengarah Kejurulatihan Beregu, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky .
Rexy kelihatan mempertikai tindakan pengadil itu dan mengajukan rasa tidak puas hatinya kepada pengadil kejohanan, ketika perlawanan suku akhir Masters Malaysia 2023 antara Pearly Tan-M Thinaah menentang gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota.
Bekas pemain beregu lelaki Indonesia itu mempersoalkan kepada pengadil yang menegur Thinaah walaupun dia tidak membuat kesalahan di hujung set kedua.
Pengadil mendakwa Thinaah telah menghempas raket namun Rexy menafikannya dan menganggap itu hanya reaksi biasa meraikan kemenangan.
Manakala satu lagi insiden yang menimbulkan kemarahan Rexy, ketika Jepun mendahului 12-11 di set ketiga, apabila umpire perlawanan menghentikan perlawanan yang sedang berlangsung gara-gara jurulatih Jepun bercakap dengan pemainnya ketika perlawan.
“Semasa rali yang panjang pengadil hentikan perlawanan disebabkan jurulatih Jepun bercakap memberi arahan kepada pemain ketika perlawanan.
“Saya terus mempertikaikan kepada pengadil yang hentikan perlawanan sebab pemain juga penat.
“Pengadil suruh ikut peraturan, saya terima tetapi dalam kes ini peraturan tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada pemain dan saya tidak boleh terima,” katanya.
Akibat perlawanan dihentikan tiba-tiba, mata tidak diberikan kepada mana-mana pemain dan terpaksa memulakan servis sekali lagi pada kedudukan 12-11.
Rexy berkata, peraturan badminton terlalu ketat seperti pemain tiada kebebasan.
“Peraturan badminton ikut seperti tenis tetapi semuanya seperti tak sama bila pemain tiada hak mereka,” katanya.
Rexy juga berkata kemenangan yang dimiliki hari ini hasil kesabaran yang tinggi ditunjukkan beregu negara.
Menanti Pearly Tan-Thinaah di separuh akhir ialah pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong yang menumpaskan wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-15, 18-21, 21-16.