BEKAS juara dunia tiga kali, Jorge Lorenzo meramalkan persaingan MogoGP 2027 akan bertambah sengit, sebaik peraturan baharu perlumbaan dilaksanakan.
Ini berikutan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) membuat keputusan memperkenal jentera baharu, bagi memastikan sukan itu lebih selamat dengan kapasiti enjin dikurangkan daripada 1000cc kepada 850cc.
Menurut Lorenzo, peraturan baharu MotoGP itu bakal menjadikan peluang setiap pasukan seimbang apabila semua pasukan akan bermula dari bawah untuk membangunkan jentera serba baharu.
“Sebelum ini, jentera 2024 sangat laju dan boleh pergi sehingga 400 kilometer sejam (km/j), tapi selepas ini kemampuan enjin akan dikurangkan, begitu juga akan berlaku perubahan aero dinamik sekali gus, jentera 2027 itu akan lebih perlahan.
“Saya harap perubahan ini bagus untuk ditonton peminat dua roda kerana perebutan gelaran dunia mungkin akan lebih menarik, semua baharu dan keupayaan jentera semuanya seimbang.
“Tahap keterujaan penonton pasti bertambah pada hari perlumbaan,” kata duta VMoto Brand, ketika ditemui di ibu negara, hari ini.
Ketika ditanya adakah perubahan tersebut bakal menjejaskan Ducati, Lorenzo tidak menolak kemungkinan itu namun segala-segalanya akan terjawab pada 2027.
“Kini Ducati memiliki jentera terpantas dan kita akan lihat apa yang akan berlaku pada 2027 nanti,” katanya.
Selain perubahan enjin, penggunaan peranti holeshot dan front ride height juga tidak dibenarkan bermula 2027, bagi memastikan perlumbaan lebih selamat.
Semalam, MotoGP mengumumkan peraturan baharu perlumbaan bermula musim 2027, dengan perubahan drastik iaitu penggunaan jentera serba baharu, dalam usaha memastikan tahap keselamatan pelumba dipertingkat.