MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya sentiasa Perbadanan Stadium Malaysia komited untuk menyediakan stadium padang bola sepak bertaraf dunia untuk kegunaan pasukan Harimau Malaya.
Beliau juga meyakini Stadium Nasional Bukit Jalil di bawah jagaan kontraktor mahir rumput Zeon Zoysia akan membuahkan hasil padang yang sempurna untuk pembangunan bola sepak di Malaysia.
Hannah turut berkongsi gambar tapak semaian Zeon Zoysia di Kuala Lumpur yang telah disediakan bersekali dengan Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi Facebook pada Selasa.
“Kontraktor yang mengendalikan penanaman dan penyelenggaraan rumput Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan kontraktor Stadium JDT.
“Sebarang pembaikan rumput di padang Stadium Nasional Bukit Jalil tidak melibatkan kos tambahan kerana adanya tapak semaian ini (yang telah disediakan sebagai sebahagian daripada perancangan penyelenggaraan padang),” jelas Hannah.
Beliau berkata, Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan Rumah Harimau Malaya dan usaha dalam mengimbangi keperluan pasukan Harimau Malaya dengan pemeliharaan dan pertumbuhan rumput Zeon Zoysia merupakan suatu tugas yang tidak boleh diambil mudah.