BELUMPUN perlumbaan berakhir, harapan emas digalas Datuk Azizulhasni Awang, sudah berakhir di garisan permulaan acara keirin, Sukan Olimpik Paris, apabila penyertaannya dibatalkan kerana perlanggaran peraturan perlumbaan.
Beraksi dalam saringan 1, pusingan pertama bersama Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun), Jeffrey Hoogland (Belanda), Jaor Tjon En Fa (Suriname), perlumbaan yang baru bermula, dihentikan menerusi tembakan komisar ketika derny baru bertindak meninggalkan trek perlumbaan.
Tembakan yang menandakan perlumbaan dihentikan itu, disusuli pengumuman mennyatakan Azizulhasni dibatalkan penyertaan kerana menyalahi peraturan perlumbaan kerana memintas derny sebelum garisan mula, yang dibenarkan.
Azizulhasni dalam kebingungan menafikan dia melakukan kesalahan itu, malah ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley turut membuat rayuan agar pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu dibenarkan beraksi dalam repechages, namun tidak diterima komisar, sekali gus harapan besar memburu emas pertama negara menerusi The Pocket Rocketman itu berkecai.
Azizulhasni sebelum ini melaungkan keyakinan untuk meraih pingat emas pertama buat negara, dan mahu menjadikan penyertaan kelima di pentas Olimpik sebagai kenangan paling manis sebelum bersara, bertukar tragedi.
Sebelum ini, Azizulhasni pernah beraksi di Olimpik Beijing 2008, London 2012, Rio 2016, Tokyo 2020 dan Paris 2024, menghadiahkan masing-masing satu pingat perak dan gangsa buat negara, pada Temasya Rio dan Tokyo.