PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat berkongsi pengalaman ketika menemui hekas Jurulatih Manchester United, Sir Alex Ferguson dalam satu ucapan semasa Majlis Anugerah Sukan Negara yang diadakan di Majlis Sukan Negara(MSN) Bukit Jalil pada Selasa.
Kongsi Anwar, perbualan singkat bersama bekas legenda bola sepak itu mempunyai maksud tersendiri memandangkan Ferguson amat meneliti setiap aspek pemainnya tanpa mengira latar belakang agama, jantina dan bangsa.
“Pengalaman saya dalam menemui Alex Ferguson ketika saya menghadiri satu majlis kecil di New York yang dianjurkan oleh mantan Naib Presiden Amerika Syarikat, Al-Gore.
“Alex Ferguson menjelaskan tentang olahraga khususnya bola sepak tentang bagaimana dia mengumpulkan anak-anak dari pelbagai latar belakang pendidikan, pelbagai kaum, wilayah dan agama.
“Memberikan disiplin dan dorongan kepada mereka untuk secara bertungkus-lumus bekerja sebagai suatu perjuangan yang sangat bermakna untuk membanggakan diri,ibu bapa,keluarga dan negara mereka,” jelas beliau ketika berucap dalam Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Ferguson sangat dekat dengan pemain sehinggakan bulan Ramadan juga diambil berat sebagai suatu bulan yang amat penting bagi umat Islam.
Nilai yang ditampilkan Ferguson dengan mengutamakan kasih sayang perlu dijadikan contoh bagi pemimpin di Malaysia untuk memastikan anak buahnya mencapai tahap terbaik.
“Alex Ferguson bagi saya sangat menarik dan saya menerima banyak ilmu dalam pertemuan singkat bersamanya dan soal jawab.
“Alex memberitahu dia mesti ada satu sikap memahami dan kasih sayang dan menghormati kelainan. Yang datang untuk bersama dalam pasukan ada Kristian, Muslim, Hindu, ada yang tiada agama. Ada yang taat dalam agama, ada yang kurang mengerti dalam agama.
“Ada juga yang mahu makan halal sahaja serta budaya tertentu. Yang paling bermasalah adalah pada Ramadan, mereka terpaksa mengubah jadual latihan. Dia kata satu yang baik walaupun pada mulanya agak sukar. Once you win their heart, you win the game.
“Dengan cara tersebut ia dapat menawan hati mereka. Anak-anak ini memiliki keterampilan masing-masing tetapi kadang-kadang kurang berdisiplin,” jelasnya.
Manakala, jika ingin melihat kepada konsep sukan di Malaysia, kekuatan, iltizam dan kasih sayang merupakan antara kunci kejayaan sesebuah sukan.
“Dalam konteks anugerah sukan negara, untuk kejayaan sukan, kita berpegang kepada seluruh semangat, kekuatan.
“Tentunya di pihak kerajaan perlu dipertingkatkan usaha untuk menyediakan yang terbaik, Malaysia harus tingkatkan usaha.
“Sehinggakan masa saya makan tadi Hannah Yeoh sempat berbisik kepada saya beberapa perkara tentang kebaikan sukan tetapi inilah contoh menteri yang berdedikasi dan fokus,” katanya.