KEJAYAAN Muhammad Azeem Fahmi mengakhiri penantian 41 tahun pingat acara 100 meter lelaki di Sukan Asia apabila memenangi pingat gangsa pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 turut menarik minat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azeem yang menamatkan larian di tempat ketiga dengan catatan 10.11 saat meraih gangsa di belakang pemenang emas dari China, Xie Zhengye dan pelari Thailand, Puripol Boonson perak untuk mengakhiri kemarau podium yang kali terakhir dilakukan pada Temasya New Delhi 1982, dengan Datuk Rabuan Pit merangkul pingat emas.
“Berulang kali saya lihat klip video ini yang memperlihatkan kejaguhan saudara Azeem berjuang habis-habisan hingga ke garis penamat dan membawa pulang pingat gangsa untuk Malaysia. Satu pencapaian membanggakan! Teruskan kecemerlangan! Tahniah!,” ciap Perdana Menteri menerusi akaun laman sosial X peribadinya.
Kejayaan dan kegembiraan ini turut dikongsi Menteri Belia Dan Sukan, YB Hannah Yeoh yang turut memuat naik ucapan tahniah di insta story peribadinya sebagai tanda penghargaan buat Azeem yang menamatkan penantian 41 tahun buat negara di Sukan Asia.
“Terima kasih Azeem kerana telah melakukan yang terbaik buat Malaysia. Penantian 41 tahun untuk Malaysia,” menurut hantaran itu.
Azeem Fahmi dan Shereen Samson mencipta sensasi apabila menghadiahkan kontinjen negara dua pingat gangsa dalam acara trek yang menggembirakan jutaan rakyat Malaysia yang sememangnya berbangga dengan kejayaan ini.