PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM15 juta untuk pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya. Pengumuman ini dibuat semasa Majlis Perjumpaan Warga Kementerian Kewangan (MOF) yang berlangsung di Putrajaya.

Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman persatuan bola sepak, termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya sudah beri arahan, ya. Tahun ini, jemaah menteri, menteri, dan timbalan menteri mempunyai banyak kerja lain. Jadi, tidak perlu campur tangan dalam persatuan tetapi beri sokongan,” katanya.

Mengambil kira minat yang mendalam rakyat, terutama golongan muda, terhadap bola sepak, Perdana Menteri mengambil keputusan untuk memantau dan membantu memperkukuhkan pasukan Harimau Malaya.

“Saya secara peribadi akan memantau dan membantu memperkukuhkan pasukan Harimau Malaya di Malaysia ini,” ujarnya lagi.

Anwar Ibrahim

Beliau turut menjelaskan bahawa peruntukan RM15 juta tersebut akan disalurkan secara khusus kepada pasukan Harimau Malaya dan bukan kepada persatuan.

“Peruntukan ini sebanyak RM10 juta daripada Kerajaan melalui Kementerian Kewangan, dan RM5 juta lagi daripada komitmen syarikat-syarikat swasta,” jelasnya.

Anwar menegaskan bahawa dana ini akan digunakan untuk kebajikan pemain, latihan, disiplin, makanan, dan minuman, serta kesejahteraan jurulatih dan pengurus pasukan.

“Saya mahu memastikan bahawa pasukan Harimau Malaya dapat menjadi antara gergasi bola sepak di Asia dalam beberapa tahun akan datang,” tambahnya.

Dion Cools antara pemain warisan yang bermain buat Harimau Malaya.

Beliau juga menekankan bahawa perbincangan akan diadakan dengan FAM untuk memastikan kerjasama yang erat dalam mempertingkatkan prestasi Harimau Malaya.

“Ini bidang dan tanggungjawab mereka, tetapi saya mahu jelaskan bahawa peruntukan RM15 juta ini adalah khusus untuk Harimau Malaya dan kebajikan pemain-pemain bola sepak negara ini,” katanya lagi.

Langkah ini diambil bagi memastikan pemain-pemain yang mewakili negara dapat fokus sepenuhnya pada prestasi mereka tanpa perlu runsing tentang isu kebajikan dan fasiliti latihan.

Suntikan terbaharu itu dijangka menambah sengat taring pasukan Malaysia yang akan bertemu Filipina dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2024 pada Rabu.

Sekiranya Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan, mereka akan bertemu pemenang diantara Lubnan atau Tajikitsan untuk aksi akhir Pestabola Merdeka pada 8 September di Stadium Nasional Bukit Jalil.