PENYERANG sayap Harimau Malaya, Faisal Halim enggan melihat kehadiran pasukan negara di bumi Qatar sebagai pelengkap kuota pada kempen Piala Asia 2023.
Sebaliknya, barisan 26 pemain skuad kebangsaan turun semangat membara memburu kejayaan sepanjang perlawanan melibatkan Kumpulan E.
“Alhamdulillah semua dalam keadaan baik. Semua pemain bersemangat untuk ke Piala Asia. Ini adalah satu peluang yang terbesar untuk pasukan kebangsaan.
“Kita pergi ke sana bukan sekadar melengkapkan kuota, tapi kita pergi untuk memberi saingan untuk pasukan lain,” katanya ditemui pemberita di Balai Pelepasan KLIA pada awal pagi Isnin.
Tonggak utama Selangor FC itu ketika ditanya dirinya dijadikan ‘bahan’ analisis pasukan lain termasuk Arif Aiman Hanapi akui perkara itu, namun katanya, jurulatih Kim Pan-gon turun melakukan analisis yang sama.
“Ya sudah tentu di mana-mana sekalipun kita bermain di liga ataupun di peringkat antarabangsa, sudah tentu setiap pasukan akan ada analisis yang tertentu.
“Kita sebagai pemain kita perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memberi prestasi yang terbaik untuk pasukan. Kita pun ada analisis pasukan pasukan, jadi masing-masing ada analisis menentukan 90 minit di Qatar,” katanya menyasarkan mencuri mata untuk lolos ke pusingan seterusnya.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu turut terharu dan bangga menjadi salah seorang pemain bola sepak mewakili Malaysia di pentas tertinggi seperti Piala Asia.
“Semua orang ingin bermain di pentas tertinggi seperti Piala Asia ataupun Piala Dunia. Tapi kita di landasan yang baik, kita go step by step sekarang kita di pentas Asia. Mana tahu masa yang akan datang kita di Piala Dunia, siapa pun tak tahu kan.
“Benda ini tak boleh jangka, tak ada orang boleh buat keputusan tapi yang penting itu semua hasil kerja keras kita,” katanya.
Faisal dan rakan-rakan akan membuka tirai saingan berdepan Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) sebelum melengkapkan jadual bertemu jaguh benua, Korea Selatan lima hari kemudian.