Oleh: MOHD FARIQ
KEPUTUSAN PJ City FC untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim depan sedikit sebanyak mengejutkan peminat-peminat bola sepak tanah air.
Wujud pada asalnya sebagai Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA) yang bertanding dalam Liga FAM pada 2014, PJ City dijenamakan oleh Kumpulan QI dengan niat murni membangunkan bola sepak dalam komuniti.
Berpegang kepada prinsip mengutamakan bakat tempatan, PJ City bertegas boleh hidup tanpa khidmat pemain import, satu-satunya pasukan dalam saingan Liga Super yang berbuat demikian.
Kumpulan QI, menerusi QNet, menjanjikan sokongan kewangan selama lima tahun tetapi nampak gayanya PJ City sudah sampai ke hujung jalan.
Tanpa satu eko-sistem yang mampu memastikan sesebuah pasukan menjana pendapatan tanpa bergantung kepada sokongan kewangan mana-mana agensi kerajaan, PJ City kelemasan dan akhirnya mengundur diri.
Andai PJ City dipulangkan kepada MIFA juga bukan satu solusi, maka kelab itu terpaksa tutup kedai,
PJ City bukan kelab pertama gulung tikar dan barangkali bukan kelab yang terakhir berbuat demikian.
Kelab berasaskan syarikat korporat dengan kewangan kukuh sekalipun tenggelam dalam lipatan sejarah kerana gagal menjawab atau mempertahankan pelaburan dalam bola sepak apabila disoal pemegang saham andai RM15-20 juta dilaburkan bagi membiayai kos pasukan untuk semusim,
Felda United, Sime Darby, MK Land, Public Bank, Felcra, MPPJ dan UPB-MyTeam antara kelab yang tidak mampu menjana pendapatan daripada hak penyiaran, jualan tiket perlawanan, penajaan mahupun hasil daripada penjualan barangan atau merchandising.
Pengunduran PJ City harus menghangatkan kembali perbalahan mengenai merit kehadiran kelab dalam kancah Liga Malaysia.
Satu ketika dahulu, majoriti pemegang taruh bola sepak tempatan berpegang kepada pendirian betapa Liga Malaysia – terutamanya saingan utama seperti Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia – perlu kembali kepada medan aksi membabitkan hanya pasukan negeri.
Hujah mereka – kelab tidak terikat dengan tanggungjawab untuk terus bersaing dalam jangka panjang.
Dalam ertikata mudah, kelab boleh sesuka hati tutup kedai apabila berdepan kesukaran ataupun sudah jemu dengan hiruk pikuk medan pertentangan.
Ini yang berlaku ketika ini, bermula dengan kelab perintis, NS Chempaka, yang mengundur diri angkara masalah kewangan, disusuli isu gaji terhutang yang membelenggu beberapa kelab seperti JKR Kelantan, Nibong Tebal FC dan MPPJ pada era 1990-an.
FAM kali pertama secara serius meneroka kemungkinan membenarkan penyertaan kelab pada 1998, dengan niat mempercepatkan proses memprofesionalkan liga dengan penyertaan pasukan berasaskan kelab.
Kehadiran kelab diramal menjelmakan satu bentuk cabaran kepada persatuan negeri, yang akan juga memaksa negeri menggandakan usaha untuk terus kekal sebagai kuasa utama.
Tetapi dengan pertukaran status daripada FA kepada FC, adalah jelas kelab yang bersaing dalam Liga Super memerlukan bantuan syarikat gergasi tetapi bagaimana jika keputusan menaja pasukan bergantung kepada minat Pengerusi atau CEO syarikat sahaja?
Jalinan kerjasama QNet dengan PJ City berasaskan niat murni dengan berteraskan program Jaguh RF sebagai antara usaha memastikan remaja dari keluarga B40 yang tidak cenderung akademik aktif dalam bola sepak. Malangnya proses ini terbantut.
Selamat jalan PJ City. Jasa anda dihargai.