PENGENDALI Kelantan Darul Naim (KDN), Park Jaehong menegaskan perjalanan jauh sehingga hampir 15 jam dari Kelantan ke Kuala Lumpur menjadi punca utama skuad kendaliannya gagal bermain dengan baik dan tewas 1-3 kepada Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super 2024-25 pada Jumaat.
KDN terpaksa bermain di tempat lawan kerana Stadium Sultan Muhammad IV masih dalam proses naik taraf dan perjalanan menggunakan bas ke Kuala Lumpur sangat memenatkan pemain hingga menjejaskan keadaan mereka dalam perlawanan.
Jurulatih asal Republik Korea itu juga tidak gembira melihat para pemainnya gagal mengawal hantaran lintang KL City yang menjadi punca ketiga-tiga gol ketika aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
“Kami hadir ke KL dengan bas dan bukan mudah menempuh perjalanan hampir 15 jam dan pemain menjadi punca pemain bermain sedikit kaku pada separuh masa pertama tetapi bermain lebih baik pada babak kedua.
“Semua gol yang dilepaskan berpunca dari kurang fokus dan disiplin terutama mengawal hantaran lintang apabila pemain hanya melihat bola walaupun kita berjaya menjaringkan gol awal tetapi pemain gagal kekalkan rentak selepas itu.
“KL adalah pasukan yang baik dalam setiap unit dan saya berpesan agar melakukan ‘man marking’ tetapi dalam perlawanan ini, pemain gagal mendengar arahan dan kami terpaksa terima kekalahan ini.
Kami juga berharap penyokong Kelantan faham kesukaran yang kami hadapi terutama perjalanan yang jauh dan kami akan kembali bangkit apabila menentang Sri Pahang selepas ini di gelanggang sendiri,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Jaehong juga tidak mahu menyalahkan jadual liga yang sering berhenti rehat sebagai punca gagal mengekalkan konsistensi meskipun dia berharap para pemain lebih cergas selepas berehat lebih panjang.
“Sejujurnya saya berharap pemain bermain lebih baik selepas rehat antarabangsa kerana mereka mempunyai masa yang lebih panjang untuk mempersiapkan diri tetapi perjalanan yang panjang dan memenatkan ini menyebabkan keadaan pemain kurang baik pada perlawanan ini,” jelasnya.
Selepas tamat pusingan pertama, KDN berada di tangga ke-12 dari 13 pasukan dengan enam mata hasil dua kemenangan dan 10 kekalahan dan akan cuba bangkit pada pusingan kedua bertemu Sri Pahang FC pada 25 Oktober.