KEM Kedah Darul Aman (KDA) FC kini dihujani kritikan pedas dari segenap sudut berikutan aksi yo-yo dalam saingan liga domestik sejak kebelakangan ini.

Apakan tidak, prestasi hambar dipamerkan Sang Kenari pimpinan Aidil Sharin Sahak termasuk kekalahan demi kekalahan mengakibatkan pasukan dari utara itu tergelincir di tangga keenam Liga Super.

Malahan, status juara bertahan Piala FA yang disandang sejak 2019 juga lebur selepas dikalahkan Terengganu FC di peringkat pusingan kedua.

Kemarahan peminat dan penyokong dizahirkan menerusi sosial media yang berang melihat kejatuhan KDA FC yang begitu mendadak musim ini menyebabkan pengurusan kelab itu menerima tempias.

Sementara itu, FLASH SUKAN ada menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali bagi mendapatkan reaksi perkembangan terkini dan isu semasa skuad Hijau Kuning yang menimbulkan keresahan ramai penyokong setia.

“Perjalanan masih panjang, bukan lagi penamat dan kita baru mengharungi separuh liga,” ujar bekas pemain pertahanan Kedah era 80 dan 90-an ini.

Untuk rekod, aksi terakhir ketika menentang Sri Pahang FC berkesudahan Kenari tumbang tanpa melawan di Kuantan pada 1 Ogos lepas.

Selepas ini KDA FC bakal bertemu PSM Makassar dalam saingan separuh akhir AFC zon Asia Tenggara di Bali, Indonesia pada Rabu depan.

‘Pemain ke-12’ tetap hadir dan berdiri di belakang pasukan walaupun prestasi tidak menentu dipamerkan Sang Kenari.

Menurut laman rasmi Facebook @HKC, Kelab Penyokong Hijau Kuning Negeri Kedah Darul Aman, jika KDA FC gagal memberikan saingan sengit pada perlawanan tersebut nanti, pihaknya menuntut barisan tertinggi pengurusan itu menekan butang panik dan melakukan tindakan drastik demi menyelesaikan kemelut prestasi merudum ketika ini.

Pada Rabu, bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah turut meluahkan rasa kecewanya dengan prestasi pasukan Kedah FC pada saat ini.

Katanya, pasukan KDA FC perlu lebih berkongsi masalah sebenar yang dihadapi dengan penyokong dan bukanlah mengambil sikap berdiam diri seperti yang berlaku kini.