PERJUANGAN skuad Harimau Malaya di bumi Doha untuk kempen Piala Asia 2023 berakhir apabila tewas tipis 1-0 di tangan Bahrain dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Jassim Bin Hamad sebenar tadi.
Kim Pan-Gon melakukan sedikit rombakan kepada barisan pemain, serta menukar sistem permainan daripada 3-4-3 kepada 5-4-1 dalam usaha memastikan benteng pertahanan negara daripada dibolosi.
Sekurang-kurangnya tiga percubaan berbahaya Malaysia dilancarkan ke kubu Dilmun Warriors pada babak pertama bermula sepakan Arif Aiman Hanapi minit ke-15 yang ditepis oleh Ebrahim Lutfalla.
Empat minit berselang, hantaran lintang pemain naturalisasi, Paulo Josue gagal disambar kemas Arif Aiman tatkala pintu gawang ternganga luas.
Malaysia yang bermula langkah kiri tewas 4-0 semasa aksi pembukaan kepada Jordan sekali lagi menguji kecekapan penjaga gol lawan yang berada di ranking 86 dunia tetapi percubaan terus Matthew Davies m-27 sedikit tinggi melepasi palang gol.
Kealpaan Malaysia mengatur serangan hampir membawa padah apabila Komail Alaswad nyaris mencetak gol, tetapi sempat dikeluarkan oleh Dominic Tan sebelum bola melepasi garisan gol.
Pertukaran pemain dilakukan Pan-gon apabila memasukkan Natxo Insa menggantikan Syamer Kutty Abba yang menerima layangan kad kuning di babak pertama.
Bahrain mula menekan barisan tengah dan cuba memecah masuk ke kawasan pertahanan negara, mujur tandukan pemain gantian tinggi lampai yang beraksi untuk kelab Republik Chezh, FK Mlada Boleslav, Abdul Yusuf m-55 tersasar.
Penguasaan berterusan anak buah Juan Pizzi akhirnya membuahkan hasil selepas Ali Madan menyumbat gol penting saat akhir pada masa kecederaan sebelum tiupan wisel penamat.
Pujian wajar dikreditkan kepada Syihan Hazmi dan rakan sepasukan kerana tetap menonjolkan permainan berkelas tinggi walau gagal menjaringkan sebarang gol dalam kempen di Doha ketika ini.
Penyingkiran pasukan bola sepak negara juga mengiringi Vietnam, dari rantau Asia Tenggara yang ‘bungkus’ awal selepas kalah dua perlawanan berturut-turut.
Malaysia akan melengkapkan perlawanan Kumpulan E bertemu juara dua kali, Korea Selatan di Stadium Al Janoub, pada 25 Januari ini.