PEMANAH barebow kebangsaan, Nor Idzuwan Mohammad gagal menyahut cabaran ke peringkat suku akhir apabila terpaksa menamatkan perjuangannya di pusingan kelayakan Kejohanan Memanah Nimes, Perancis yang berlangsung pada 19 hingga 21 Januari.

Idzuwan yang merupakan atlet kelahiran Pahang itu bagaimanapun telah mencatatkan rekod terbaik buat negara Asia kerana menduduki ranking ke-11 dalam keseluruhan saingannya itu.

Selain itu, kegagalannya untuk ke peringkat seterusnya dianggap sebagai kurang bernasib baik kerana kejohanan barebow ini hanya membenarkan pemain-pemain ‘Top 8’ sahaja layak ke pusingan suku akhir ataupun kalah mati.

Berbeza dengan acara memanah yang lain, seperti busur yang dipertandingkan di pentas Olimpik akan melayakkan pemain ‘Top 32’ untuk berada di pusingan kalah mati.

Perkara ini perlu diakur sendiri oleh Idzuwan mengenai acara barebow yang difahamkan sedang dalam proses untuk lebih berkembang, maka hanya ‘Top 8’ sahaja yang terpilih untuk ke saingan kalah mati.

Sementara itu. berdasarkan keputusan kejohanan yang dimuat naik ke laman rasmi Kejohanan Memanah Nimes, kita dapat simpulkan bahawa pemanah-pemanah handal dari Eropah yang mendahului saingan tersebut.

Wakil dari Denmark, Oliver Ochkenholt berada di tempat pertama, manakala Simone Barbieri dari Italy yang pada awalnya berada di ranking pertama telah jatuh di kedudukan kedua.

Tempat ketiga dan keempat pula masing-masing disandang oleh pemanah dari Slovenia, Andrej Resnik dan Gregor Dolar.