PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 antara skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon menentang Yaman yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 20 Jun 2023 terpaksa dibatalkan.
Berita pembatalan ini dimuatkan dalam kenyataan rasmi badan induk itu menerusi Twitter pada Rabu.
“Ia selepas FAM menerima surat makluman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Yaman (YFA) pada jam 5 petang semalam (Selasa, 30 Mei 2023) yang menyatakan hasrat membatalkan perlawanan tersebut atas alasan ketiadaan pemain utamanya kerana menyertai skuad B-23 negara berkenaan ke West Asian Championship di Iraq
“Pembatalan saat akhir daripada pihak YFA ini sekali gus memaksa FAM perlu mencari segera pasukan pengganti sesuai dalam masa yang agak suntuk dengan pilihan terhad memandangkan kebanyakan pasukan lain sudah mempunyai lawan masing-masing pada kalendar Fifa kali ini,” kata Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.
Siaran Media: Perlawanan Menentang Yemen Batal; Harimau Malaya Tukar Lawan Papua New Guinea
▶️ Baca selanjutnya di https://t.co/kz4OWwH8Jp#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/lMaPtIhTQK
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 31, 2023
Jelas beliau lagi, selepas menghubungi beberapa pasukan, FAM akhirnya telah berjaya mendapat persetujuan daripada Papua New Guinea sebagai pasukan pengganti untuk bertemu skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 20 Jun 2023.
Terdahulu skuad Harimau Malaya akan berdepan pasukan di ranking ke-134 dunia, Kepulauan Solomon bagi satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 14 Jun 2023.
Sebagai rekod, Yaman di kedudukan ranking ke-157 dunia manakala Papua New Guinea ke-159 dunia, berbanding Malaysia ke-138 dunia.