KETERUJAAN penyokong bola sepak tempatan menyaksikan aksi Liga Super 2023 tidak dapat disangkal terutama dengan kehadiran semula Astro sebagai penyiar rasmi yang menyiarkan kesemua perlawanan liga secara langsung.
Untuk musim ini, perlawanan Liga Super melibatkan 14 pasukan itu bukan sahaja boleh ditonton secara linear iaitu terus di televisyen tetapi juga secara mudah alih di pelbagai peranti menerusi aplikasi Astro GO dan laman penstriman Sooka.
Selepas lima perlawanan awal Liga Super sebelum berhenti rehat kerana memberi laluan kepada skuad kebangsaan beraksi dalam kalendar antarabangsa Fifa bulan Mac, Astro telah mengeluarkan senarai perlawanan dengan jumlah penonton tertinggi di ketiga-tiga platform yang disediakan.
Seperti dijangka, perlawanan melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat perhatian ramai penyokong bola sepak tempatan dengan empat daripada lima perlawanan mendapat jumlah tontonan yang tinggi.
JDT kini berada pada tahap terbaik apabila berjaya memenangi enam perlawanan berturut-turut dengan menjaringkan 25 gol dan hanya bolos sekali untuk kukuh di tangga teratas liga dengan 18 mata.
Menurut Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John yang dikongsi di laman Twitter peribadinya, perlawanan Piala Sumbangsih yang juga pembuka tirai Liga Super 2023 antara JDT dan Terengganu FC mendapat rating tertinggi di platform linear, Astro GO dan Sooka.
Liga Super on Astro
Top Viewership (LS1 – LS5)Linear:
1. JDT v Terengganu
2. Terengganu v KL City
3. Selangor v JDTAstro GO:
1. JDT v Terengganu
2. Selangor v JDT
3. JDT v KelantanSooka:
1. JDT v Terengganu
2. Negeri Sembilan v JDT
3. Sri Pahang v Sabah#DemiLigaKita— Nicholas John (@pluralpictures) April 2, 2023
Pertembungan klasik dua gergasi bola sepak tanah air antara Selangor FC dan JDT yang menyaksikan Harimau Selatan menang dengan keputusan 4-0 pula mencatat jumlah tontonan ketiga tertinggi di platform linear dan kedua tertinggi menerusi platform Astro GO.
Amukan JDT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi ketika membelasah Negeri Sembilan 7-0 pula mencatatkan rating kedua tertinggi di laman penstriman Sooka manakala aksi sebelah petang ketika membenam Kelantan 5-1 pula mencatat rating ketiga tertinggi di platform Astro GO.
Rating-rating di semua platform ini adalah bukti bahawa perlawanan melibatkan JDT sentiasa mendapat perhatian ramai kerana corak permainan yang menarik ditunjukkan anak-anak buah Esteban Solari selain kehadiran pemain-pemain bintang dalam skuad Harimau Selatan.
Perlawanan melibatkan JDT bukan sahaja mendapat perhatian menerusi siaran langsung tetapi turut menarik perhatian penyokong ke stadium apabila lebih 56,000 penyokong hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dalam dua perlawanan dan hampir 37,000 penyokong di laman lawan dalam tiga perlawanan.