PEMAIN tengah skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Syahir Basyah menganggap perlawanan persahabatan yang diaturkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai sesuatu yang penting dan wajar.
Baginya, setiap perlawanan itu adalah peluang berharga untuk membina keyakinan dalam pasukan menjelang kejohanan Piala Asia Bawah 23 di Qatar.
“Bagi saya semua perlawanan penting tak kira lawan pasukan ranking rendah atau tinggi tetapi bagi saya setiap perlawanan itu penting untuk dapatkan chemistry antara satu sama lain untuk tambahkan keyakinan dalam pasukan.
“Perlawanan kelmarin bagi saya okay sahaja, semakin hari kita orang makin dekat dengan kejohanan jadi kami akan gunakan setiap perlawanan persabahatan yang ada dan tunjukkan yang terbaik untuk Qatar nanti.
“Banyak benda yang kami kena perbaiki sebab kat Qatar kami akan jumpa lawan yang sangat susah jadi banyak benda lagi nak kena baiki untuk kami betul-betul sedia nanti kelak,” katanya ketika ditemu bual bersama media.
Dia turut mengakui kehilangan beberapa tonggak utama dalam pasukan seperti Mukhairi Ajmal, Nooa Laine, Azam Azmi Murad dan Harith Haiqal sedikit sebanyak mempengaruhi rentak permainan pasukan itu.
“Bagi Syahir memang ada impak yang besar, mereka antara core players untuk team bawah 23 kita.
“Tetapi saya rasa semua pemain bagi yang terbaik (menentang India) kelmarin.
“Mereka berhak untuk dapat peluang masing-masing (kesebelasan utama) dan mereka bagi yang terbaik semalam,” tambahnya lagi.
Skuad B-23 dijadualkan bakal menjalani empat lagi perlawanan persahabatan iaitu seterusnya menentang pasukan sama, India pada 25 Mac depan, China pada 3 April, Qatar pada 6 atau 7 April dan satu lagi perlawanan persahabatan yang sedang dicari untuk melengkapkan lima aksi persahabatan.
Inisiatif ini bagi mendapatkan keserasian antara pemain dan jurulatih seterusnya menguji kekuatan mereka, menjelang kempen Piala Asia B-23 di Doha, Qatar yang bermula pada 15 April hingga 3 Mei 2024.