TEMPOH lebih sebulan tanpa kejohanan, diisi dengan perlawanan simulasi Sukan Olimpik Paris, dalam usaha mengekalkan rentak serta memasukkan mood pertandingan ke dalam diri pemain badminton negara.

Akademi Badminton Malaysia (ABM) melaksanakan perlawanan simulasi antara beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, hari ini, sambil disaksikan Chef de Mission (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya, Datuk Nicol David, di gelanggang latihan akademi terbabit.

Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, perlawanan simulasi itu penting bagi mendesak pemain menampilkan prestasi sebenar, berbanding sekadar latihan biasa.

CDM Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya, Datuk Nicol David menyaksikan perlawanan simulasi antara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

“Sebenarnya, semasa berbincang dengan Aaron-Wooi Yik bertanyakan persiapan bagaimana mereka mahukan, sama ada sebelah malam atau perlawanan simulasi seperti persiapan ke Tokyo (tanpa penonton).

“Jadi kita memutuskan untuk mengadakan simulasi untuk mereka mendapatkan feeling Olimpik dan kejohanan kerana lebih sebulan tanpa pertandingan,” kata Bin Shen.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik memenangi pingat gangsa pada Temasya Olimpik Tokyo.

Meskipun tewas rubber set pada perlawanan itu, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kelima dunia mempamerkan prestasi yang amat baik dan Bin Shen menyatakan bahawa tidak mustahil pasangan itu meraih pingat emas di Paris.

“Namun, mereka perlu berada dalam kondisi bebas kecederaan serta mempunyai minda yang tenang untuk fokus dalam gelanggang,” ujar Bin Shen lagi.

Bagi menyesuaikan dengan mood Olimpik Paris, gelanggang di ABM dilengkapi papan iklan “A Board” di sekeliling dengan banting “Paris 2024” di belakang gelanggang, malah jurulatih duduk di tempat duduk di belakang gelanggang.

Bin Shen berkata, perlawanan itu memberi input penting kepadanya untuk dianalisa bagi memperbaiki kelemahan dan memperkuat kekuatan gandingan negara terbabit.