SKUAD futsal negara memulakan sesi latihan pertama pada Selasa untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih awal untuk Kejuaraan Futsal Asean 2024.

Seramai 16 pemain yang dipanggil Ketua Jurulatih Rakphol Sainetngam  bagi sesi latihan sebelum terbang ke Bangkok, Thailand.

“Kami memantau prestasi semua pemain yang dipilih dalam saingan liga (MPFL), semua pemain menunjukkan prestasi yang cukup memberasangkan dan berharap untuk dipilih menjadi sebahagian daripada skuad untuk Kejuaraan Futsal Asean 2024 nanti.

Rakphol Sainetngam mengharapkan anak buahnya memberi yang terbaik untuk kejohanan di Thailand nanti.

“Kami sangat bertuah kerana Persatuan Bolasepak Thailand menjemput kami untuk bermain di dalam kejohanan Futsal NSDF 2024 yang menghimpunkan pasukan yang bermain di AFC Piala Futsal Asia nanti.

“Bagi saya ini merupakan satu kejohanan yang sukar tetapi ini merupakan satu peluang yang baik untuk semua pemain supaya mereka bersedia dengan sistem baharu bersama saya dan berharap kita akan lakukan yang terbaik dalam kejohanan ini untuk Malaysia,” jelasnya pada sesi latihan di Wisma FAM, Selasa.

Rakphol turut menambah bahawa penglibatan Malaysia di dalam kejohanan ini adalah kerana prestasi yang cukup baik ditonjolkan oleh skuad futsal negara ketika pusingan kelayakan AFC Piala Futsal Asia baru-baru ini.

Antara 16 pemain futsal negara menyertai sesi latihan pertama di Wisma FAM pada Selasa.

Kejohanan Futsal NSDF 2024 akan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac 2024 di Thailand dan akan melibatkan empat buah pasukan iaitu tuan rumah Thailand, Malaysia, Afghanistan dan Australia, dengan ketiga-tiga pasukan melayakkan diri ke kejohanan Piala Futsal Asia.

Selain kejohanan di Thailand, Malaysia akan bertemu dengan satu lagi pasukan Asia Tenggara untuk perlawanan persahabatan iaitu Vietnam pada awal April.