VIRGIL Van Dijk bertegas bahawa perlawanan suku akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022 antara Belanda dan Argentina pada Jumaat bukanlah segalanya tentang pertembungan antara dia dan Lionel Messi sebaliknya ianya pasukannya perlu lebih berhati-hati apabila berhadapan pasukan bintang itu.

Ketua pasukan Belanda itu tenang menjawab soalan yang dilemparkan tentang bagaimana hendak mengurangkan ancaman Messi dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Lusail.

Pertahanan Liverpool itu juga bersetuju bahawa pasukannya sepatutnya beraksi lebih baik di Qatar meskipun masih belum tewas sehingga kini dan merasakan kritikan yang diterima daripada penyokong itu sebagai perkara biasa dalam bola sepak.

Virgil van Dijk

 

“Segalanya adalah tentang usaha berpasukan. Ianya bukan sebab saya atau Belanda menentang Messi ianya tentang Belanda menentang Argentina. Kami tidak bimbang tentang Messi sebaliknya kami berhati-hati dengan apa yang bakal disajikan Argentina dalam perlawanan.

“Mereka adalah pasukan yang hebat dengan pemain yang bagus dan kami perlu berada pada tahap terbaik dalam semua bahagian ketika perlawanan sekiranya kami mahu mara lebih jauh dalam kejohanan ini.

“Kami juga merasakan yang kami harus bermain lebih baik. Kami adalah sepasukan manusia yang ‘perfectionists‘ dan sentiasa mahu tampil dengan aksi lebih baik meskipun kami masih belum tewas dan kini akan bermain di suku akhir,” katanya.

Lionel Messi sandaran utama skuad Tango mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar.

 

Belanda juga bersemangat untuk mencipta sejarah baharu iaitu muncul juara Piala Dunia selepas tiga kali tewas di final sebelum ini.

“Kami sentiasa dahaga dan memasang impian untuk memenangi Piala Dunia. Apabila sudah berada di suku akhir anda hanya tinggal tiga perlawanan sahaja untuk bergelar juara. Ini adalah peluang tetapi kami perlu melepasi halangan Argentina terlebih dahulu yang mempunyai salah seorang pemain terbaik di dunia.

Skuad Orange juga mungkin berhadapan potensi bermain di hadapan majoriti 80,000 penyokong yang menyokong Argentina kerana hanya sedikit penyokong berbaju oren yang datang ke Qatar kali ini.

Kebiasaannya, Belanda mempunyai ramai penyokong meskipun di tempat lawan namun bagi Van Dijk ianya tetap satu suasana yang menarik dan jaringan gol awal sangat penting kerana ianya mampu mendiamkan penyokong lawan.

Belanda akan menentang Argentina dalam perlawanan suku akhir yang dijangka sengit dengan pemenang akan berhadapan sama ada Brazil atau Croatia di separuh akhir.