PERLIS dan Kelantan bakal menjadi destinasi terbaharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bagi mempromosi kesihatan dan kesejahteraan warga emas, selaras visi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga itu.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya sentiasa mempromosi aspek kesihatan baik dalam kalangan ahlinya mahupun masyarakat.

“Kita ada lebih kurang 3,100 ahli dan kebanyakkannya berusia lebih 50 tahun. Kita sudah melakukannya di Johor Bahru baru-baru ini dan selepas ini kita akan ke Perlis.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed akan membawa Yakeb ke Perlis dan Kelantan.

“Kita akan memperkenalkan bekas atlet ini untuk melakukan aktiviti (senaman dan bersukan) bersama warga emas di daerah atau kawasan perumahan mereka,” kata Noorul Ariffin selepas program Konvoi Jiwa Merdeka Subang Jaya 2024.

Program yang turut disertai Yakeb bersama beberapa pihak bersempena sambutan Hari Merdeka ke-67 ini di pusat membeli belah Da Men Mall, turut menghimpunkan tujuh bekas pemain kebangsaan.

Antara yang menyertai program, bekas pemain badminton kebangsaan Goh Liu Ying, Datuk Foo Kok Keong dan Datuk Rashid Sidek; Datuk Marina Chin dan Datuk Zaiton Othman (olahraga); Datuk Dollah Salleh (bola sepak) dan legenda bina badan negara, Datuk Malek Noor.

“Bagi program hari ini, kita membawa tujuh legenda untuk menyertai konvoi bersama kereta klasik. Sambutan yang sangat baik dan ramai mengimbau kembali kejayaan dan pengorbanan bekas atlet ini.

“Kita juga mengadakan aktiviti ‘Meet&Greet’ bersama legenda ini dan ini bakal membantu bagi memupuk semangat kesukanan bagi warga emas,” kata Noorul.

Pada awal Ogos, Yakeb berkunjung ke Johor Bahru bagi menyalurkan maklumat mengenai peranan yang boleh diambil bekas atlet sebagai agen terbaik untuk menjayakan sukan warga emas.

Program yang turut disertai Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman itu berjaya menarik 100 peserta yang terdiri daripada bekas atlet dan ahli keluarga mereka.