FOTO : Perlis United

KELAB Bola Sepak Perlis United FC (PUFC) dengan tegas menafikan kenyataan yang tidak tepat dan berniat jahat yang dikaitkan dengan mereka.

Perlis United dilaporkan telah membuat pusingan-u dan menarik diri daripada menyertai Liga Super musim ini.

PUFC menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rozailmee Zulkeply menyatakan bahawa kenyataan tersebut hanya bertujuan untuk mensensasikan portal berita tertentu.

Pihaknya menyeru agar jika terdapat kebenaran dalam kenyataan tersebut, pihak yang membuatnya perlu mengumumkan sumber dalaman yang dimaksudkan.

Rozailmee Zulkeply

“Kami di PUFC menafikan sebarang bentuk kenyataan sebegini. Dan ingin kami tegaskan bahawa kami tidak ada sebarang permusuhan bersama YAB Menteri Besar.

“Berita ini hanya ingin mensensasikan portal mereka sahaja. Jika benar, sila umumkan siapa sumber dalaman yang dimaksudkan,” kata Rozailmee menerusi Facebooknya pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN : Singa Utara sedia pertahankan maruah kelab dan banggakan penyokong

Beliau menyatakan bahawa jika PUFC akan menarik diri, mereka akan membuat kenyataan rasmi.

Bagaimanapun, pada masa ini, mereka masih berusaha dan mengalu-alukan bantuan dari sesiapa yang bersedia.

“Buat masa sekarang kami masih berusaha. Jika ada yang nak bantu silakan, kalau tak mohon doakan yang baik-baik,” katanya lagi.

Sebelum ini, Malaysia Football League (MFL) selaku pengelola Liga Malaysia mengumumkan bahawa kelab utara tanah air itu akan mengisi slot ke-14 dalam Liga Super musim ini.

Namun, kelab itu diarahkan untuk memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license) yang bersyarat.