PENYERANG kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad memberitahu semua pemain akan mengikuti taktikal jurulatih agar kemenangan berpihak kepada Malaysia menjelang pertemuan terakhir Kumpulan E Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2023 bertemu Bangladesh pada Selasa.
Syafiq dengan yakin berkongsi bahawa dia akan bermain bermati-matian untuk memastikan Malaysia mara ke Piala Asia 2023 selepas kali terakhir Malaysia layak adalah pada 2004 semasa mendapat tiket sebagai tuan rumah.
“Kami akan mengikuti taktikal jurulatih bagi mendapatkan kemenangan, kita ada penyokong yang banyak dan ia adalah kelebihan buat pasukan.
“Saya akan cuba untuk mendapatkan minit perlawanan yang banyak, dan berharap akan diturunkan oleh jurulatih Kim Pan-gon, ” katanya ketika sidang media pra-perlawanan.
Sementara itu, Syafiq tidak menolak adanya unsur tekanan kerana mendukung harapan seluruh rakyat Malaysia, namun bijak mengendalikan perasaan itu tanpa memikirkan siapa lawan yang bakal ditemui.
Malah dia tidak mahu untuk menoleh ke belakang lagi selepas tewas kepada Bahrain yang dianggap mimpi ngeri yang perlu diambil sebagai iktibar agar tidak leka dan sentiasa menjaga posisi masing-masing.
“Setiap perlawanan ada tekanan tersendiri, apa yang penting apabila kita bermain di laman sendiri, kita perlu bijak meresap tekanan ke atas pemain.
“Kita perlukan kemenangan untuk dihadiahkan buat seluruh rakyat Malaysia, kita tidak boleh toleh ke belakang sebaiknya melihat ke hadapan,” jelas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ini.
Malaysia bakal melengkapkan peringkat kumpulan E bertemu Bangladesh pada 14 Jun serta mengharapkan kemenangan besar diperoleh bagi melayakkan skuad kebangsaan dalam 24 kelompok pasukan yang akan bertanding dalam Piala Asia 2023.