PEMAIN badminton negara, digesa fokus kepada persiapan pusingan akhir Piala Thomas/Uber di Chengdu, China, 27 April hingga 5 Mei depan, terutamanya pasukan lelaki yang mempunyai potensi ke pusingan kalah mati.

Legenda perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei berkata, skuad Piala Thomas berpotensi ke suku akhir namun pemain perlu mempamerkan kesungguhan untuk menjuarai kumpulan.

“Berdasarkan undian, saya percaya kita boleh muncul juara kumpulan. Namun, pasukan perlu sentiasa merendah diri dan bekerja sebagai satu pasukan.

“Saya mahu pemain menjauhkan diri daripada media sosial sehinggalah tamat Piala Thomas tetapi ia adalah sangat mustahil pada hari ini.

Leong Jun Hao mampu menjadi perseorangan lelaki ketiga yang kuat dan sering mempamerkan semangat sepasukan yang tinggi dalam acara berpasukan, namun belum cukup memberangsangkan pada aksi Kejohanan Badmninton Berpasukan Asia (BATC) Februari lalu.

“Nasihat saya kepada pasukan, elakkan diri daripada sebarang gangguan yang tidak perlu. Sebaliknya, kekal fokus bagi melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan kali ini,” katanya.

Pada undian di Chengdu semalam, skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua Denmark, Hong Kong dan Algeria manakala pasukan wanita dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.

Sejak kali terakhir menjuarai Piala Thomas pada 1992, pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah iga kali muncul naib juara iaitu pada edisi 1998 di Hong Kong, 2002 di Guangzhou dan 2014 di New Delhi.

Lee Zee Jia pasti menjadi tonggak utama buat skuad Piala Thomas negara.

Chong Wei yang mengetuai cabaran negara pada 2014, berkata, penting untuk pemain fokus menghadapi ‘Piala Dunia’ bagi badminton itu dan mengelakkan diri daripada sebarang gangguan luar yang tidak diperlukan.

Pada edisi 2014, skuad lelaki negara mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan Korea Selatan (kumpulan), Denmark (suku akhir) dan Indonesia (separuh akhir) sebelum tewas 2-3 di tangan Jepun di final.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga menjadi sandaran penting, tidak boleh keciciran mata dalam saingan berpasukan.

Menurut Chong Wei, tiada apa yang mustahil dalam kejohanan berpasukan tetapi ia memerlukan semangat berpasukan yang tinggi.

“Amat penting untuk kita mengadakan kem latihan pusat sebelum kejohanan, tidak kira di Malaysia atau luar negara.

“Pada 2014, tiada siapa jangka kami boleh mara ke final tetapi kami berjaya melakukannya kerana kami bersatu sebagai satu pasukan.

“Saya percaya jurulatih Rexy (Mainaky) tahu apa yang terbaik. Dia pernah memenangi Piala Thomas dan jurulatih yang berpengalaman,” kata Chong Wei.