PELUMBA negara, MD Ramdan Rosli memenangi perlumbaan 2 TVS Asia One Make Championship pusingan ketiga di Litar Sugo, Jepun pada Ahad.
Bagaimanapun, penunggang tuan rumah Hiroki Ono dilihat cuba memberikan cabaran kuat Ramdan tetapi peningkatan kelajuan memastikan kejuaraan podium milik Ramdan di Perlumbaan 2 ARRC 2023 dengan masa 16′ minit 8:545 saat (s).
“Saya bersedia untuk menentang Ono kerana kami telah mengusahakan suspension jentera kami. Saya cukup yakin untuk menerima saingan dalam Perlumbaan 2.
“Tetapi malangnya, dia menghadapi beberapa masalah mekanikal dengan mesin itu. Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan keputusan perlumbaan hari ini. Ia bukanlah satu pencapaian yang mudah, tambahan pula dengan berat badan saya berbanding pelumba lain tetapi sekali lagi, saya amat bersyukur dengan kemenangan ini,” katanya.
Decky Tiarno Aldy dari Indonesia mendapat tempat kedua dengan catatan masa 16’38:938s. Fugo Tanaka dari Jepun pula menduduki tempat ketiga dengan 16’44:373s.
Seorang lagi pelumba negara, Muzakkir Mohamed menamatkan kedudukan keenam terbaik.
Sementara itu, Khairul Idham Pawi (gambar) menjadi pemenang kategori SuperSport 600cc (SS600) dengan catatan 22’59:568s.
Keito Abe dari ONEXOX TKKR Racing Team mendapat tempat kedua pada 22’59:581s. Md Helmi Azman dari Boon Siew Honda Racing Team menduduki tempat ketiga pada 22’59:889s.
“Hari ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan dan saya amat bersyukur dengan kemenangan itu. Semalam, saya sangat bergelut dengan keadaan basah sehingga saya mencuba segala-galanya hari ini untuk memanfaatkannya sepenuhnya.
“Bermula dari kedudukan ke-10 bukanlah mudah tetapi saya cuba menutup jurang di hadapan saya, satu demi satu. Paling penting, saya sedar bahawa saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
“Saya mengekalkan fokus saya pada penunggang hadapan dan ia berfungsi dengan baik untuk saya. Pada pusingan kedua terakhir, saya berada di belakang Keito dan saya tahu dia sangat kuat di laman sendiri.
“Pada pusingan terakhir, selekoh terakhir, ia adalah garisan yang sangat ketat jadi saya berusaha pada kelajuan saya untuk tiba dahulu ke arah bendera sebelum Keito melakukannya,” kata Khairul.