PERSATUAN Sukan Bermotor Malaysia (MAM)  bersedih pemergian arwah Hattem Rashdi dalam acara Perlumbaan Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023.

Walau bagaimanapun, kejadian yang berlaku di litar Pekan, Pahang pada hujung minggu lalu didakwa tidak mendapat kelulusan atau pengiktirafan dari pihak MAM.

MAM dalam satu kenyataan  memaklumkan, pihak yang terlibat termasuklah penganjur, pemilik litar, dan pelumba untuk mematuhi sepenuhnya peraturan dan protokol yang telah ditetapkan.

“Acara-acara sukan permotoran yang diiktiraf oleh MAM dijalankan dengan ketat mengikut panduan am dan teknikal yang telah ditetapkan oleh pihak FIA dan FIM berkaitan dengan penganjur, kemudahan, peserta, dan kenderaan.

“Hal ini merangkumi aspek penting seperti persekitaran perlumbaan yang selamat, penglibatan marshal dan pegawai perlumbaan yang berkelayakan dan berpengalaman, persediaan litar yang mengutamakan keselamatan, pasukan perubatan, dan perlindungan insurans bagi semua yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN : Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 tak dapat kelulusan MAM

ARTIKEL BERKAITAN : Pelumba drag Hattem Rashdi maut kemalangan di Litar Speedway

Menurut MAM lagi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan MAM telah mengadakan perbincangan bagi mengemas kini pentadbiran dan undang-undang acara sukan permotoran supaya ia lebih teratur serta tersusun.

“Pihak MAM amat berharap agar semua pihak yang berkenaan dapat memberi kerjasama untuk memastikan bahawa penganjuran yang tidak diiktiraf seperti ini dapat dihalang demi mengelakkan kejadian sedemikian berulang,” menurut MAM.