PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui corak permainan bola tinggi yang digunakan Sabah FC terutama pada babak kedua menyukarkan permainan pasukannya ketika aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.
Hector bagaimanapun gembira dengan cara para pemainnya mengatasi masalah itu untuk mencatatkan kemenangan 3-1 yang juga kemenangan kelima berturut-turut musim ini.
“Kami tahu ini akan menjadi satu perlawanan yang sukar tetapi saya gembira kerana para pemain menunjukkan satu persembahan yang bagus.
“Babak kedua sedikit sukar buat kami kerana Sabah bermain hantaran tinggi pada kebanyakan masa dan mereka berjaya mendapatkan gol yang mana selepas itu kami berjaya mengatasi masalah ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui dia kecewa dengan keputusan permainan tetapi bangga dengan komitmen yang ditunjukkan para pemain meskipun beraksi tanpa dua tonggak utama.
Dia juga akur kelekaan barisan pemain pada babak pertama menyebabkan mereka bolos dua gol sekaligus menyukarkan tugas untuk mencari gol penyamaan di hadapan ribuan penyokong sendiri.
“Keputusan yang mengecewakan dan walaupun tanpa pemain utama, kita mampu berikan permainan mengikut corak yang kita inginkan. Kelekaan pada babak pertama menyukarkan kita tetapi dapat buktikan kita mampu jaringkan gol dan bersaing pada babak kedua sebelum sepakan penalti yang amat mengecewakan.
“Tanpa pemain-pemain utama, ini peluang untuk mereka yang jarang bermain untuk buktikan kemampuan mereka dan dapat dilihat mereka mencuba yang terbaik namun memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri,” jelasnya
Dua gol dari penyerang naturalisasi, Romel Morales dan penalti lewat permainan oleh Bergson Da Silva memastikan Harimau Selatan pulang dengan tiga mata manakala Sabah terpaksa akur dengan satu lagi kekalahan musim ini.