PENGLIBATAN kelab-kelab tempatan dalam kejohanan kelab Asia – Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Piala AFC sejak lebih lima tahun kebelakangan ini membuka satu dimensi baharu buat senario bola sepak tempatan selain dilihat membantu skuad Harimau Malaya berada pada satu tahap yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
Jika sebelum ini skuad kebangsaan diundi atau mengadakan perlawanan persahabatan dengan negara yang mempunyai ranking lebih tinggi dari Malaysia, majoriti penyokong sudah menjangkakan keputusan akhir yang tidak berpihak kepada Malaysia.
Namun perkara ini sudah tidak lagi menjadi norma malah para penyokong sudah mula yakin dengan kemampuan skuad kebangsaan malah boleh meletakkan harapan untuk melihat sang Harimau Malaya mengaum membaham musuh tanpa mengira siapa.
Keyakinan ini bukan hanya terbit pada penyokong malah ianya juga dapat dirasakan para pemain sendiri yang sudah tidak lagi berasa kecil dan memandang rendah keupayaan sendiri sebaliknya berjuang tanpa lelah untuk membuktikan Harimau Malaya mampu menggegar bola sepak Asia.
Pelbagai faktor boleh dikatakan sebagai detik kebangkitan bola sepak Malaysia ketika ini tetapi faktor utama keyakinan ini timbul adalah kerana penglibatan kelab tempatan dalam kejohanan bola sepak Asia yang mengetengahkan falsafah bola sepak moden yang berintensiti tinggi.
Perlawanan berintensiti tinggi di Asia memaksa kelab tempatan untuk menukar cara latihan dan permainan mengikut kehendak bola sepak moden dan hasilnya kelab-kelab Malaysia kini bukan sekadar bertanding tetapi memenangi perlawanan di peringkat Asia dan kelayakan ke kejohanan besar ini telah menjadi tuntutan penyokong setiap kelab.
Beraksi dengan intensiti tinggi memerlukan pemain menjadi lebih pantas menekan lawan sekaligus memastikan tidak ada kesilapan sekecil mana pun boleh dilakukan dan ini menjadikan pemain lebih cergas, pantas dan kurang melakukan kesilapan.
Apabila tiga perkara ini dapat dikuasai semasa latihan, tidak ada masalah buat pasukan untuk berjumpa dengan mana-mana pasukan sekalipun dan ini sekaligus meningkatkan keyakinan pemain bahawa mereka kini boleh menewaskan sesiapa pun pada hari perlawanan.
Perkara ini turut diakui pertahanan negara, Matt Davies yang menganggap penglibatan Johor Darul Ta’zim, Sabah dan Terengganu dalam kejohanan kelab Asia banyak membantu pemain untuk beraksi pada tahap tertinggi ketika menyarung jersi kebangsaan.
Persaingan dalam pasukan itu sendiri menjadi bertambah menarik kerana setiap pemain akan meningkatkan prestasi mereka sekaligus meningkatkan prestasi pasukan dan hasilnya dapat diterjemahkan dalam perlawanan.
Malaysia kini bakal menghadapi kempen Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan Republik Krygyz dan Chinese Taipei bakal menjadi dua lawan pertama yang sangat penting bagi mencorak peluang Harimau Malaya ke peringkat seterusnya dan layak secara merit sekali lagi ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027.