TERLALU menganggap diri lebih kecil berbanding pencabar lain, mengundang padah apabila perjalanan Pearly Tan-M Thinaah di Kejohanan Jelajah Dunia Akhir, di Bangkok, Thailand, berakhir tanpa kemenangan.

Beregu wanita negara melengkapkan penyertaan dengan kekalahan ketiga, sekali gus gagal mara ke separuh akhir.

Menghadapi perlawanan ketiga kumpulan B, Juara Terbuka Perancis itu dalam situasi wajib menang kerana hanya kemengan dapat membuka peluang ke separuh akhir.

Berdepan pilihan kedua dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu, kedua-dua gandingan memerlukan kemenangan untuk melangkah jauh.

Seperti dijangka, perlawanan berlangsung sengit dan gandingan China itu memenangi set pertama 21-19, sebelum Pearly-Thinaah merampas set kedua 22-20.

Memasuki set penentuan, China mempamerkan penguasaan mutlak menang 21-19, sekali gus meninggalkan Pearly-Thinaah dengan kekalahan semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Pearly-Thinaah anggap kemenangan di Perancis sekadar nasib.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berkata, permainan gandingan itu tidak lancar kerana disekat pemikiran negatif.

“Pearly dan Thinaah harus buang pemikiran yang mereka belum sama tahap dengan pemain terbaik dunia yang lain.

“Mereka seperti menganggap kemenangan di Perancis hanya bernasib baik,” kata Rexy.

Tambah Rexy lagi, sejak menang pingat emas  Sukan Komanwel, gandingan itu cukup konsisten, namun selepas Terbuka Perancis, mereka kelihatan kurang kepercayaan diri.

ARTIKEL BERKAITAN : Jelajah Dunia Akhir: Yew Sin-Ee Yi catat kemenangan, Pearly- Thinaah tewas lagi