MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui perkenalannya dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah membuka lembaran baru dalam membentuk komunikasi dua hala yang lebih berkesan dalam bola sepak kebangsaan.

Antara permintaan paling diingati Hannah adalah apabila beliau meminta jasa baik Presiden FAM itu mempertimbangkan semula kadar bayaran kepada penonton yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Tier 1.

Tanpa menunggu lama, katanya, Hamidin dengan segera mengambil keputusan untuk menurunkan harga tiket bagi perlawanan bola sepak kerana memikirkan nasib rakyat jelata yang dahagakan untuk menyaksikan sukan bola sepak dengan kadar berpatutan.

“Sejak saya mengenali Datuk Hamidin, beliau telah banyak membantu dalam urusan Kementerian Belia dan  Sukan berkaitan dengan bola sepak.

“Apabila saya ada soalan, beliau akan membantu jawab soalan tersebut. Tetapi yang saya paling berterima kasih apabila beliau mempertimbangkan permohonan saya untuk menurunkan harga tiket di stadium.

“Keputusan itu tidak popular untuk FAM secara dalaman, tetapi sangat popular di luar sana. Keputusan tersebut dibuat atas permintaan peminat bola sepak,” ujarnya ketika berucap di Majlis Kesyukuran Datuk Hamidin Mohd Amin atas Pemilihan Sebagai Ahli Majlis FIFA 2023-2027 pada Selasa.

Dengan pemilihan sebagai Ahli Majlis Fifa, Hannah menyifatkan selepas ini ikon pembangunan bola sepak negara itu akan lebih sibuk kerana perlu fokus terhadap tugasan di luar negara.

Bagaimanapun, Hannah akan menggiatkan usaha bersama ahli jawatankuasa serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meningkatkan mutu bola sepak negara di mata dunia.

“Jadi dengan pemilihan ini, saya rasa beliau tidak ada banyak masa di Malaysia untuk membantu FAM kerana mempunyai tanggungjawab baru di peringkat global.

“Tetapi saya memohon ahli jawatankuasa lain membantu memikul tanggungjawab ini di Malaysia dan bersama KBS kita usahakan untuk membangunkan sukan bola sepak tanah air,” jelasnya.