PINTU telah tertutup rapat buat Perlis United FC (PUFC) untuk melangkah ke era Liga Super tahun ini, walaupun mereka akan menghantar rayuan sekali lagi kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk diberi tempoh lanjutan.

PUFC telah menyatakan sendiri bahawa mereka akan membuat rayuan terakhir bagi melengkapkan segala kriteria yang diminta oleh pihak First Instance Body (FIB), selepas FIB mengesahkan bahawa mereka telah gagal meraih Lesen Kebangsaan.

Dalam satu sesi sidang media bersama Presiden MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam, mereka telah menegaskan bahawa keputusan yang dikeluarkan FIB adalah wajar memandangkan setiap garis masa yang ditetapkan oleh FIB telah dilanggar dan tidak dihormati oleh mereka.

Tiada peluang kedua buat Perlis United untuk menjelaskan kriteria yang diminta oleh FIB. 

Stuart turut menjelaskan bahawa daripada empat kriteria yang diminta oleh FIB, tiga daripadanya mempunyai empat garis masa (tarikh akhir) yang berbeza, dan ini bermakna, terdapat kriteria yang dapat diselesaikan dengan cepat namun malangnya, tetap gagal.

“Itu merupakan garis masa yang ditetapkan oleh FIB dimana Perlis tidak dapat menghormati tarikh akhir tersebut. Tiga garis masa yang sudah terlepas, tambahan tiga kriteria yang tidak dilengkapkan telah membuatkan FIB kekal mengambil keputusan sedemikian.

“Kita telah cuba sedaya upaya untuk memastikan kita mempunyai 14 pasukan Liga Super, tetapi adanya 13 pasukan musim ini, ia juga tidak akan mengubah kalendar hari perlawanan dan sebagainya.

Datuk Stuart Ramalingam dan Datuk Abdul Ghani turut hadir dalam sesi sidang media pada Rabu

“Setiap hari perlawanan akan ada satu pasukan yang dapat waktu rehat tambahan, jadi ia tidak mengubah jumlah atau intensiti perlawanan, malah kita memberi ruang bagi setiap pasukan untuk berehat di antara jadual perlawanan yang sedang padat,” kata Stuart dalam sesi sidang media di Hotel Dorsett Grand Subang.

Dengan sikap tegas dan serius oleh badan induk bola sepak tempatan itu, Stuart berharap agar ianya dapat membuka mata masyarakat tentang sejauh mana tahap kecaknaan MFL dalam mendepani isu tunggakan gaji dan kewangan kelab-kelab di liga Malaysia ini.

“Kami harap dengan penegasan FIB iaitu dari segi penolakan lesen Kelantan FC, penolakan permohonan rayuan terakhir Perlis United, ini dapat menunjukkan bahawa MFL memandang berat terhadap isu gaji ini,” tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN : PUFC mohon maaf, buat rayuan terakhir ke Liga Super