JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bersyukur dengan pencapaian pada perlumbaan pertama tahun ini dalam Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Jakarta, Indonesia.
Jelasnya, ia merupakan satu permulaan yang baik untuk dirinya pada kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya yakin yang prestasi saya akan terus meningkat naik dari masa ke semasa. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan padu,” katanya.
Azizulhasni, 35, yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman berkata, catatan kemungkinan boleh sedikit pantas dan keputusan akhir perlumbaan juga kemungkinan boleh lebih baik.
“Keputusan akhir, kedudukan saya adalah di tempat ketujuh dan ianya memberikan mata sebanyak 480, cukup untuk mengukirkan sebuah senyuman kepada saya dan pasukan.
“Kalau diambil kira dengan keadaan fizikal yang lunyai kepenatan kerana terpaksa mengharungi banyak perlumbaan pada hari sebelumnya,” katanya.
Di pusingan kelayakan, beliau menang ke atas Kohei Terasaki manakala pada pusingan kedua mengatasi Mateusz Rudyk.
Pada suku akhir ketika bersaing dengan Mikhail Yakovlev, Azizulhasni mendahului perlumbaan pertama begitu selesa namun melakukan sedikit kesilapan di perlumbaan kedua.
“Di perlumbaan penentuan (ketiga) saya tidak dapat memecut seperti biasa kerana ada beberapa bahagian badan yang kekejangan justeru memberikan kemenangan kepada pihak lawan,” kata pelumba asal Dungun, Terengganu itu lagi.
.