MUNGKIN tidak ramai peminat bola sepak tempatan yang mengenali Mohd Shazlan Alias, antara sebahagian skuad Selangor yang menjulang Piala Malaysia 2015 sekali gus melengkapkan misi kejuaraan ke-33.

Seorang produk dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, Shazlan merupakan ahli skuad bawah 18 Malaysia yang beraksi ketika Kejohanan Bola Sepak ASEAN bawah 20 di Vietnam pada bulan Julai 2007.

Shazlan yang mesra di sapa Lan JJ turut bermain untuk Harimau Muda sebelum bermain untuk pasukan negerinya Terengganu dan kemudian membawa angin baharu berpindah ke T–Team.

Selepas dua musim bersama T-Team, Shazlan menyertai Sime Darby. Dia kembali ke T-Team pada musim berikutnya. Shazlan menyertai Selangor pada musim 2014 dan disitulah titik karier bermula kerana mengecap nikmat muncul juara piala keagungan negara pada tahun 2015 semasa di bawah bimbingan Mehmet Durakovic.

“Kenangan terindah apabila saya ditugaskan menjaga Jose Antonio Reyes ketika aksi persahabatan Selangor menentang Sevilla di Stadium Shah Alam. Itu antara momen best sepanjang bergelar pemain profesional,” ujar bekas pemain pertahanan kanan ketika ditemui FLASH SUKAN baru-baru ini.

Menurut bekas pemain Sime Darby dan Negeri Sembilan itu yang kini berusia 34 tahun, setiap yang bermula pasti berakhir. Begitu jugalah zaman ketika menyepak bola di padang tetapi kini menukar kerjaya sebagai tukang urut hidroterapi di kampung kelahiran di Terengganu.

Selepas menggantung but, anak jati Jeram, Manir, Kuala Terengganu itu tidak membuang masa duduk diam, sebaliknya terus mengorak langkah dengan memberi tumpuan kepada perniagaan sendiri bersama isteri.

“Memang seronok bila imbas balik zaman bermain bola bersama raka-rakan. Paling tak lupa, saya dapat pingat Piala Malaysia sekali seumur hidup. Detik kegembiraan itu memang saya tak boleh lupakan.

“Para penyokong yang selalu di sisi, membuatkan kami sentiasa bekerja keras memberikan yang terbaik untuk majikan diwakili. Saya masih mengikuti perkembangan bola sepak tempatan walaupun tidak aktif seperti dahulu,” katanya kini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif Rayyan Medicspa Hydrotherapy Terengganu.

Tambah Shazlan, perniagaan yang diusahakan bersama isteri tersayang itu terus berkembang maju serta mendapat sambutan penduduk sekitar termasuk luar negeri Terengganu.

“Saya mula dapat ilham ini selepas cuba-cuba mengurut emak yang mengadu sengal-sengal. Alhamdulillah, mungkin dari situ saya dapat semangat meneruskan lagi kerjaya ini,” imbasnya lagi.

Dia juga berkongsi kebaikan mandian hidroterapi dan urutan buih ultrasonik yang diusahakan dekat rumahnya di Kampung Baloh, Bukit Payong, Marang.

“Mandian hidroterapi dan urutan buih ultrasonik merupakan salah satu kaedah terkini dalam merawat penyakit yang dihidapi oleh individu.

“Mandian hidrosonik dan urutan buih ini bukan hanya untuk mereka yang berpenyakit tetapi untuk semua orang yang menginginkan penjagaan kesihatan secara optimum.

“Memandangkan ia mendapat tempat dihati para pengguna aromaterapi, kami menyediakan servis mandian buih ultrasonik di rumah kami dengan bayaran perkhidmatan yang berpatutan,” katanya.

Tambahnya, ramai kalangan bekas pemain hadir memberi dorongan dan mencuba rawatan, menariknya kesemuanya pulang dengan perasaan berpuas hati.

Bagi anda yang berminat mencuba perkhidmatan hidroterapi, boleh hubungi Shazlan di talian di 011-3915 4676 atau hadir sendiri ke premis yang beralamat di Lot 55267, Jalan Darul Falah, Kampung Baloh, 21400 Bukit Payong, Terengganu.