PENYOKONG tegar Selangor FC pasti terkejut dengan berita mengenai bekas ketua jurulatih kelab mereka, Tan Cheng Hoe, yang dikatakan akan menyertai sebuah pasukan kelab di Thailand.
Keputusan ini hadir selepas Tan Cheng Hoe membawa Selangor meraih kejayaan dalam musim 2023, muncul naib juara Liga Super dan menyambar tiket ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 musim ini.
Meskipun perpisahan ini mengecewakan, sumbangan Tan Cheng Hoe kepada kelab tidak dapat dipisahkan dengan kejayaan pasukan.
Menurut Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid, Cheng Hoe berjaya membawa Selangor ke persada bola sepak Asia atas pencapaian yang cemerlang.
“Peletakan jawatan Cheng Hoe juga melibatkan pampasan kepada Selangor FC, yang mana pasukan kelab di Thailand sanggup membayar untuk memperoleh perkhidmatan beliau. Ini menunjukkan penghargaan terhadap kepakaran dan sumbangan yang beliau bawa kepada pasukan.
“Bagi saya, jika semangat untuk Selangor telah padam, lebih baik pergi sahaja. Selamat maju jaya kepada Cheng Hoe di dalam cabaran baru beliau, dan semoga sumbangan serta kejayaannya bersama Selangor FC akan terus dikenang oleh penyokong,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Kehilangan jurulatih berusia 55 tahun itu meninggalkan sebuah kerusi kosong yang besar di Selangor, tetapi ini juga membuka peluang untuk mencari pengganti yang berpotensi membawa pasukan ke tahap kejayaan yang lebih tinggi lagi.
Semoga skuad Merah Kuning dapat mencari ketua jurulatih yang sesuai untuk melanjutkan warisan dan legasi kejayaan yang telah dibina oleh Cheng Hoe.
Ketika ini, Selangor telah mengambil langkah pantas untuk melantik Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih sementara kelab.