HARIMAU Malaya sekali lagi berada dalam kelas tersendiri selepas berjaya mengikat pasukan di ranking lebih tinggi dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan persahabatan Tier 1 berdepan China di Chengdu, pada Sabtu.
Dalam aksi di Stadium Phoenix Hill itu, skuad negara bermula garang apabila hanya memerlukan 60 saat untuk membuka tirai jaringan menerusi Darren Lok yang menyudahkan umpanan Faisal Halim.
Malangnya, gol itu tidak disahkan selepas Faisal dikesan offiside oleh pembantu pengadil.
Berselang sembilan minit, Faisal berjaya meletakkan skuad negara mendahului 1-0 menerusi satu hantaran lintang cantik Akhyar Rashid untuk mengejutkan penyokong tuan rumah. Ini adalah jaringan pertama ke China sejak tahun 2007 !
PERLAWANAN PERSAHABATAN TIER 1
FT : CHINA 🇨🇳 1-1 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Faisal Halim 11'
⚽️ Lin Liangming 36'#FAM #HarimauMalaya— Flash Sukan (@FlashSukan) September 9, 2023
Corak permainan menyerang diterapkan Kim Pan-gon terus memastikan penguasaan Malaysia dan Dion Cools nyaris menanduk masuk gol, tetapi tersasar sebelah kanan.
Usaha keras China mendapatkan jaringan penyamaan berhasil apabila satu gerakan set pieces di luar kotak penalti dimanfaatkan Lin Liangming m-36 yang melepaskan tendangan deras menewaskan Syihan Hazmi.
Memasuki babak kedua menyaksikan Pan-gon melakukan enam pemain untuk menguatkan lagi jentera serangan pasukan negara.
Pada minit ke-78, perlawanan terhenti seketika apabila Li Shuai mengalami kecederaan serius selepas terlibat pertembungan di kepala dengan Syahmi sebelum dia digantikan oleh Li Lei.
Walaupun menguasai perlawanan pada penghujung babak kedua, Harimau Malaya bagaimanapun tidak dapat menambah jaringan. Keputusan seri itu membolehkan pasukan bola sepak mengutip mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebanyak 3.328 mata sepanjang aksi bulan September.
Dua aksi persahabatan ini penting bagi pasukan negara dalam persediaan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026 bermula November ini dan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
Malaysia sebelum ini mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam jendela perlawanan antarabangsa Fifa.
Malaysia mengalahkan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 Mac lepas, serta menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan membelasah Papua New Guinea 10-0 pada Jun.
Perlawanan ini tadi merupakan aksi ke-24 Pan-gon bersama Harimau Malaya dan Malaysia berjaya mencatat 16 kemenangan, empat seri dan hanya empat kekalahan selain menjaringkan 58 gol dan bolos 18 kali.