PEMAIN tengah Sabah FC yang juga pemain kebangsaan, Stuart Wilkin bersedia merebut tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya meskipun sedar bukan mudah dengan kehadiran banyak pemain di posisi itu.
Baginya walaupun berdepan saingan dari ramai pemain, ianya adalah persaingan yang sihat sekaligus membentuk satu skuad yang baik untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa di Kuala Terengganu.
“Sentiasa gembira dan berbangga apabila dipanggil ke skuad kebangsaan dan teruja untuk berada dalam kem latihan serta saya tidak sabar untuk dua perlawanan persahabatan ini.
“Banyak pemain yang mencabar posisi saya tetapi ianya adalah persaingan yang sihat dalam pasukan tetapi sudah tentu saya mahukan minit permainan jika jurulatih meletakkan kepercayaan kepada saya,” katanya ketika ditemui Flash Sukan selepas aksi Sabah FC bertemu PDRM FC di Kelana Jaya.
Stuart juga turut merasakan kehadiran pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kem kebangsaan kali ini meningkatkan lagi tahap pasukan dan dia bersedia untuk merebut kesebelasan utama sekiranya diberikan peluang oleh barisan kejurulatihan.
“Setiap kali panggilan kebangsaan, saya rasakan tahap yang semakin meningkat. Perebutan posisi semakin sukar kerana banyak pemain yang baik termasuk pemain dari pasukan JDT dan juga pasukan lain. Ianya satu skuad yang baik dan berharap kami dapat menang kedua-dua perlawanan itu.
“Saya sentiasa bersedia untuk berada dalam kesebelasan utama dan itu adalah sasaran saya dan juga semua pemain untuk mendapat tempat dan kami mempercayai sesiapa yang dipilih untuk beraksi akan menunjukkan persembahan yang baik demi lencana di dada,” tambahnya.
Ditanya sama ada Malaysia akan berhadapan masalah apabila berhadapan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea kerana kedua-dua pasukan ini jarang diketahui, Stuart mengatakan dia yakin dengan kajian barisan kejurulatihan dan mahu mencapai kemenangan dalam kedua-dua aksi itu.
“Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea adalah pasukan yang sukar dijangka dan mempunyai ranking yang hampir dengan Malaysia. Barisan kejurulatihan sudah tentu telah melakukan kajian tentang mereka dan ada sebab mengapa kita bermain dua perlawanan ini.
“Kami mempercayai barisan kejurulatihan dengan taktikal mereka dan kami akan berikan yang terbaik dan seperti yang saya katakan, kami harap dapat memenangi perlawanan ini,” tegasnya.
Harimau Malaya akan berhadapan Kepulauan Solomon pada 14 Jun sebelum bertemu Papua New Guinea pada 20 Jun di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu sebagai persiapan skuad kendalian Kim Pan-gon untuk menghadapi saingan Piala Asia AFC 2023 di Qatar pada Januari 2024.