PEMAIN pertahanan negara, Dominic Tan menganggap persaingan sihat di dalam skuad kebangsaan ketika ini terutama di posisi pertahanan adalah baik untuk setiap pemain meningkatkan lagi tahap permainan masing-masing.
Ini berikutan semakin banyak pemain yang boleh dipilih oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk mengisi posisi pertahanan dan kesemua pemain yang dipanggil kini juga sudah memahami apa yang dimahukan jurulatih dari Korea Selatan itu.
“Sudah tentu saingan dalam skuad kebangsaan begitu sengit, bukan sahaja di posisi pertahanan tengah tetapi posisi lain juga kerana semua pemain adalah bagus. Ianya bukan sesuatu benda yang mudah tetapi ia adalah cabaran yang kami semua mahukan untuk meningkatkan lagi tahap permainan kami.
“Kim Pan-gon juga sudah setahun berada di sini dan pemain semua sudah tahu apa yang dia mahukan dan diperlukan. Dia adalah jurulatih yang baik dan kita semua boleh lihat sendiri bagaimana pasukan kebangsaan kini bertambah baik dan saya juga menjadi pemain yang lebih baik di di bawah kendaliannya” katanya ketika ditemui di Johor Bahru.
Ditanya mengenai persiapan dirinya sekiranya diturunkan apabila berhadapan Hong Kong pada Selasa, dia bersedia untuk bermain tanpa mengira siapa lawan sekalipun dan akan berikan yang terbaik.
“Untuk saya semua perlawanan adalah penting tidak kira siapa pun lawan yang akan dihadapi. Persiapan pasukan tetap sama dan jika diberikan peluang saya akan lakukan yang terbaik kerana Hong Kong sudah pasti akan memberikan cabaran selepas mereka tewas tahun lalu ketika aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil,” tambahnya.
Kemenangan ke atas Hong Kong pada Selasa akan menjamin mata ranking yang lebih baik dan memastikan pasukan Asia Timur itu tidak mampu memintas kedudukan ranking Harimau Malaya untuk meletakkan Malaysia dalam balang yang lebih selesa untuk undian Piala Asia tahun hadapan.