SUKAN Muay Thai, seni bela diri yang penuh dengan disiplin dan teknik, semakin mendapat perhatian di seluruh Asia, dan Malaysia turut tidak ketinggalan dalam perkembangan sukan ini.
Dalam temu ramah eksklusif bersama Flash Sukan di Kejohanan MOVE-ON MuayThai Selangor Open Challenge, Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia, Datuk Muhammad Shahnaz Maula Azmi, berkongsi pandangan beliau mengenai kemajuan Muay Thai di peringkat Asia dan langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan atlet Malaysia.
“Di peringkat dunia, kita memiliki jaguh-jaguh yang dikenali, termasuk juara dunia tiga kali berturut-turut, Mohammad Rifdean Masdor dari Perak, serta Johan Ghazali (Jojo) yang pernah meraih gelaran juara remaja dunia.
“Malaysia bukan hanya kuat di peringkat Asia, tetapi juga di pentas antarabangsa,” jelas Shahnaz.
Beliau menekankan bahawa fokus kini adalah untuk mempersiapkan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027, yang akan menjadi peluang besar untuk menonjolkan bakat-bakat tempatan.
Untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan atlet Muay Thai di rantau Asean, Persatuan Muay Thai Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN).
“Kami telah memasukkan Muay Thai dalam program podium, yang melibatkan pembangunan di peringkat negeri melalui Sukma. Dari kejohanan tersebut, kami dapat melahirkan banyak bakat baharu yang berpotensi untuk mewakili Malaysia dalam Sukan SEA 2025, bergantung kepada kelulusan Majlis Olimpik Malaysia,” tambahnya.
Namun, menurut beliau perjalanan untuk membawa Muay Thai ke tahap antarabangsa tidaklah mudah.
“Atlet Muay Thai perlu tahan sakit dan melakukan latihan yang lebih intensif. Kami memperkenalkan sukan ini di peringkat akar umbi, mulai dari usia tujuh hingga sembilan tahun, dengan mempromosikan Muay Thai sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah,” ujar beliau.
Meskipun ada stigma bahawa Muay Thai adalah sukan yang kasar, beliau menekankan bahawa keselamatan atlet sangat dititikberatkan. Sebagai contoh, peraturan melarang tumbukan dan siku di muka untuk atlet yang berusia di bawah 12 tahun, memastikan bahawa disiplin dan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
Persatuan Muay Thai Malaysia juga berusaha untuk mendidik masyarakat mengenai manfaat sukan ini.
“Kami ingin meyakinkan ibu bapa bahawa Muay Thai adalah sukan yang selamat. Dengan adanya kursus-kursus jurulatih dan pengadil, kami berharap dapat mewujudkan pengenalan bakat yang betul di peringkat akar umbi,” katanya.
Shahnaz menegaskan bahawa atlet yang terbaik dipilih untuk mewakili Malaysia tanpa mengira latar belakang kelab mereka. Perancangan jangka masa panjang, visi beliau adalah untuk menjadikan Muay Thai sebagai salah satu sukan terkemuka di Malaysia.
“Kami tidak hanya fokus pada aspek combat, tetapi juga pada pendidikan karakter. Muay Thai dapat membantu membina sahsiah seseorang dan boleh dijadikan sebagai aktiviti kecergasan, pertahanan diri, dan gaya hidup,” katanya.
Dalam usaha untuk memperluas pengaruh Muay Thai, program-program kini juga dibuka kepada individu dengan keperluan khas, menunjukkan bahawa sukan ini bukan hanya terhad kepada atlet elit.
Dengan pelan pembangunan yang komprehensif dan semangat untuk maju, Malaysia sedang bersedia untuk membawa Muay Thai ke tahap yang lebih tinggi, tidak hanya dalam konteks sukan, tetapi juga sebagai elemen penting dalam masyarakat.