PERSATUAN Sepak Takraw Perlis (PSTP) mengumumkan penarikan diri secara rasmi dari ahli gabungan Malaysia Sepak Takraw Federation (MASTAF) berkuatkuasa hari ini.

Penarikan diri tersebut dibuat Setiausaha Kehormat Persatuan Sepaktakraw Perlis, Syed Azmir Syed Ahmad kerana telah hilang keyakinan terhadap kredibiliti kepimpinan MASTAF di bawah Presiden Datuk Suhaili Abdul Rahman sejak 10 bulan yang lepas.

“Faktor-faktornya adalah sudah sekian lama MASTAF tidak mengadakan perbincangan  Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (EXCO) untuk membincangkan agenda penting melibatkan kepentingan MASTAF.

“Sehingga kini saya melihat tiada langsung perlantikan Pengerusi Jawatankuasa utama dalam MASTAF sehingga kini. Bukan itu, sahaja, kita boleh lihat tiada langsung penganjuran pertandingan oleh MASTAF hingga kini.

“Seterusnya, faktor peletakan jawatan saya adalah tiada takwim perancangan program atau aktiviti pembangunan sepak takraw untuk tahun 2023.

“Akhir sekali, berlaku tindakan oleh pimpinan yang membelakangi , menyembunyi atau tanpa pengetahuan Ahli Majlis Tertinggi MASTAF, ” katanya dalam sidang media di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan sempat mengumumkan bahawa nama Persatuan Sepak Takraw Malaysia akan ditukar kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia.

Ianya dibuat setelah mengambil kira pandangan dan rundingan yang telah dibuat pengurusan dengan sebulat suara bersetuju membuat penjenamaan semula nama badan induk tersebut.

“Sebelum ini kita ada mencadangkan me arah itu, tujuannya adalah untuk rebranding semula untuk tujuan mengalu-alukan kehadiran ramai lagi ahli gabungan ke dalam PSM. Apa-apa pun ini langkah harmoni yang kita ambil untuk memakmurkan nama sepak takraw di negara ini.

Keputusan yang dibuat PSTP menyaksikan Perlis melakukan u-turn apabila kembali bernaung di Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) setelah mengambil keputusan keluar dari badan induk itu sebelum ini kerana mahu berada di bawah MASTAF.