PERSEKUTUAN Wushu Malaysia (PWM) membuat keputusan drastik memutuskan segala bentuk kerjasama dengan Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik (BPS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkuatkuasa serta merta.

Presiden PWM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, keputusan dibuat persatuan itu bermakna, pihaknya juga tidak akan menghantar mana-mana atlet wushu negara untuk menyertai apa jua kejohanan yang dikelolakan oleh seksyen sukan berkenaan pada masa akan datang.

Kim Fatt berkata, pihaknya membuat keputusan berkenaan selepas Seksyen Sukan BPS, KPT tidak menghormati, tidak menyokong dan tidak pernah menjalankan sebarang program pembangunan untuk sukan wushu di Malaysia selama ini.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM), Datuk Chong Kim Fatt (tengah) terkilan dengan sikap KPT.

“Walaupun atlet wushu sering memenangi pingat dalam pelbagai temasya kelolaan seksyen itu, termasuk memang emas pertama dalam sejarah penyertaan dalam Sukan Universiti Dunia sejak 1985, satu surat penghargaan kepada kita (PWM) pun tak ada.

“Ia seumpama kejayaan itu adalah hasil usaha mereka sahaja. Sikap dan tindakan sedemikian adalah tidak menghargai dan tidak menghormati PWM sama sekali, walhal mereka juga tidak pernah membekalkan pakaian mahupun peralatan untuk latihan atlet.

“Semua atlet wushu berlatih di bawah program pembangunan yang dibiayai oleh MSN (Majlis Sukan Negara) dan PWM juga perlu menganggung  perbelanjaan untuk menyertai pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa.

Sydney Chin terlepas satu aksi berpotensi medal pada Sukan Kombat Universiti Dunia di Turkiye.

“Dalam erti kata lain, seksyen berkenaan hanya meminjam atlet dan jurulatih daripada PWM dan MSN selama ini, namun mereka langsung tidak pernah berterima kasih mahupun menghargai peranan dan sumbangan PWM dan MSN ,” kata Kim Fatt.

“Dalam kejohanan University World Cup Combat Sports pada 2022, mereka telah membuat tempahan tiket lewat dan atlet kita sampai di Turkiye pukul 8 pagi dan perlu masuk gelanggang pukul 9 pagi. Ada seorang atlet juga terlepas satu acara,” katanya, menggambarkan BPS tiada perancangan yang tersusun sehingga merugikan masa atlet.