PERSIAPAN Kuala Lumpur sebagai tuan rumah kejohanan hoki Piala Dunia Remaja Disember depan, hampir 70 peratus bersedia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, persiapan sedang giat dijalankan menjelang kejohanan yang berbaki kira-kira enam bulan sahaja lagi.

“Saya boleh katakan persiapan sekitar 68 peratus. Sebab kami masih lagi perlu memutuskan beberapa perkara seperti tempat tinggal dan pengangkutan. Semua ini perlu diputuskan bersama dengan FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa).

“Perkiraan kami untuk persiapan kejohanan ini adalah lima bulan lagi walaupun sebenarnya masih berbaki enam bulan,” katanya, pada sidang media bagi mengumumkan kejohanan Liga Hoki Remaja Malaysia (TNBMJHL) yang akan berlangsung dari 3 sehingga 19 Ogos depan.

Jelas Anil, selepas perbincangan bersama pihak FIH, hanya satu padang akan digunakan iaitu Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bagi kejohanan Piala Dunia Remaja.

“Kami memang ada mencadangkan beberapa (venue) tapi dalam mesyuarat bersama FIH, mereka putuskan untuk bermain di Bukit Jalil sahaja. Mungkin kebanyakan pasukan tidak mahu mengharungi jarak perjalanan yang jauh dan mahu mahu fokus di satu tempat sahaja,” katanya.

Pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga Hoki Remaja Malaysia (TNBMJHL) 2023.

Bagi menjaga kualiti padang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Anil berkata, padang utama tidak akan digunakan untuk sebarang kejohanan sebaik berakhir Liga Remaja Malaysia.

Selain Malaysia sebagai tuan rumah, 15 lagi pasukan yang akan bersaing di Piala Dunia Remaja, Belanda, Jerman, Belgium, Sepanyol dan Perancis dari benua Eropah, Australia dan New Zealand (Oceania), Afrika Selatan dan Mesir (Afrika), Argentina, Kanada dan Chile (Pan Amerika) serta India, Pakistan dan Korea Selatan (Asia).

Dalam pada itu, Anil turut memaklumkan TNBMJHL edisi 2023 akan menampilkan 45 pasukan lelaki dan wanita membabitkan 136 perlawanan bagi edisi tahun ini.

Anil turut memaklumkan mendedahkan lima venue pertandingan akan digunakan bagi edisi kali ini iaitu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Stadium Hoki Pantai  (Kuala Lumpur), Stadium Hoki KPM (Kuala Lumpur),  Stadium Hoki Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang dan Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka.