PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, mengucapkan tahniah kepada skuad kebangsaan Malaysia atas kejayaan merangkul kejuaraan Pesta Bola Merdeka 2024, namun beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang tidak memenuhi standard yang sepatutnya.

Dalam satu ciapan di akaun X rasminya, Kim Swee menegaskan tentang keadaan padang SNBJ yang membimbangkan.

“Tahniah kepada pasukan kebangsaan kita kerana telah memenangi Piala Merdeka. 

“Namun, sambil kita meraikan pencapaian ini, adalah penting untuk meneliti keadaan padang SNBJ. Ia agak membimbangkan dan tidak mencerminkan standard yang sepatutnya untuk pasukan dan acara sebesar ini.” katanya.

 

Beliau juga menekankan bahawa keadaan padang yang tidak memuaskan bukan sahaja membahayakan keselamatan pemain, tetapi turut menjejaskan kualiti permainan secara keseluruhan. 

“Keadaan padang yang buruk bukan sahaja menjejaskan keselamatan pemain, malah kualiti permainan juga terganggu. 

“Kami berharap agar langkah yang sewajarnya diambil untuk memastikan padang diselenggara mengikut standard tertinggi.”

Selain itu, Ong Kim Swee turut menambah bahawa para pemain negara layak mendapat persekitaran terbaik untuk mempamerkan kemahiran mereka dan bermain dengan selamat. 

“Pemain-pemain kita berhak mendapat persekitaran terbaik untuk menunjukkan bakat mereka dan bermain dengan selamat. 

“Sekali lagi, tahniah kepada skuad kebangsaan dan kami berharap untuk lebih banyak kemenangan di masa hadapan dengan keadaan yang lebih baik.”

Padang SNBJ kerap kali menjadi bualan peminat bola sepak tempatan kerana kualiti padang yang sentiasa dibawah jangkaan.

Jutaan wang ringgit dihabiskan untuk mendapatkan padang yang berkualiti namun sehingga kini keadaan padang tidak pernah memuaskan.

Rumput yang  mudah tercabut dan berpasir jelas dilihat di kaca televisyen dan juga peminat di stadium juga dapat melihat keadaan rumput yang menyebabkan pemain-pemain kebangsaan mengalami kecederaan.

Kim Swee menambah bahawa beliau menekankan isu berkaitan padang Stadium Nasional sering berulang dan tidak pernah selesai setiap kali digunakan untuk perlawanan bola sepak.

“Masalah ini tidak pernah berakhir. Adakah kita mahu menyalahkan orang lain atau terus memberi alasan” ujar Kim Swee.

Dalam perlawanan pada Ahad itu, Dominic Tan menjadi pemain terbaru yang mengalami kecederaan akibat keadaan padang yang tidak memuaskan, memaksanya dikeluarkan pada separuh masa kedua dan digantikan oleh Feroz Baharudin.

Kenyataan Kim Swee ini membuka ruang perbincangan tentang pentingnya aspek infrastruktur dalam memastikan kejayaan jangka panjang pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, khususnya dalam acara-acara besar seperti Pestabola Merdeka.