PERSEMBAHAN ‘sub-par’ Perak FC semalam mengundang kekecewaan di riak wajah ketua jurulatih pasukan, Yusri Che Lah.

Menurutnya, prestasi yang ditunjukkan oleh anak buahnya itu amat sukar diterima kerana bermain di tempat sendiri yang seharusnya mencipta kemenangan.

“Ini pertama kali saya menyuarakan rasa amat tidak puas hati dengan pemain-pemain saya di mana selama ini saya tidak pernah mengeluarkan perkataan-perkataan terhadap pemain saya tetapi tahap kesabaran seseorang itu saya rasa ada had.

Yusri mengakui pemainnya hilang keyakinan dan seolah-olah tidak mahukan kemenangan.

“Saya rasa pemain harus dihukum dengan kekalahan pada malam ini dan sepatutnya mereka rasa malu dengan persembahan sendiri.

“Saya rasa ini merupakan persembahan paling buruk pemain daripada lima perlawanan yang telah kita tampilkan dalam liga mahupun Piala FA,” katanya kepada media selepas perlawanan.

Dia menambah bahawa semua pemain kelihatan hilang keyakinan seolah-olah tidak menginginkan kemenangan dengan semua pergerakan serba tidak menjadi.

Kubu Penang FC dikawal ketat oleh kapten Penang, Rafael Vitor.

Jelasnya, semua kesalahan mudah yang dilakukan pemain tidak seharusnya berlaku ketika pasukan amat memerlukan tiga mata penting selepas menanggung empat kekalahan sebelum ini.

“Kalau tanya saya malam ini (Sabtu), saya tak puas hati secara jujurnya. Seandainya mereka menerima bayaran yang diterima ketika ini, sepatutnya mereka menunjukkan sikap yang lebih komited walaupun saya tahu dengan pandangan peribadi ini pemain tak berpuas hati, tetapi saya perlu bercakap dengan sebenar-benarnya seandainya mereka terus dibuai angan-angan tanpa berusaha.

“Amaran akan berlaku, ini (adalah) wake up call untuk semua yang terlibat. Semua mengambil tanggungjawab bukan saya seorang tapi semua jurulatih dan juga para pemain harus bertanggungjawab. Lima perlawanan kalah, satu perlawanan menang merupakan satu rekod yang buruk,” tegasnya.

Dalam perlawanan ‘derbi utara’ semalam, The Bos Gaurus tumpas ke tangan jiran Penang FC dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Neto Oliveira dan Alif Ikmalrizal di Stadium Perak.