PEMAIN pasukan Indonesia, Sandy Walsh, dikesan sedang ‘lepak’ dengan beberapa pemain Malaysia menjelang Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.
Dalam foto itu, Sandy Walsh kelihatan bersama Dion Cools, Junior Eldstal, Daniel Ting, Darren Lok dan Stuart Wilkin.
Peminat kedua-dua negara mungkin kehairanan bagaimana Sandy Walsh mengenali pemain Harimau Malaya. Sebenarnya, Sandy Walsh pernah bertembung dengan Dion Cools di Liga Belgium.
Sandy Walsh beraksi dengan KV Mechelen manakala Dion Cools tampil bersama Club Brugge dan Zulte Waregem.
Secara kebetulan, memang hotel penginapan Malaysia dan Indonesia adalah bersebelahan di jalan utama di Doha.
Malahan, perkongsian gambar tersebut tidak menimbulkan masalah antara pemain pasukan Garuda dan Malaysia yang diketahui mempunyai perseteruan yang tinggi dalam padang dan juga penyokong.
Kini, mereka akan berjuang untuk membanggakan pentas Asia Tenggara di Piala Asia 2023.
Indonesia berada dalam Kumpulan D bersama Jepun, Iraq dan Vietnam. Sementara itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Baik Malaysia mahupun Indonesia, masing-masing perlu berusaha keras dan mengintai peluang layak ke Pusingan 16 Piala Asia 2023.