PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac mengakui persiapan hanya sehari yang dimilikinya sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan sekaligus tersingkir dari saingan Piala FA 2024-25 selepas tewas 2-3 kepada Kuching City FC.

KL City kehilangan tujuh pemain yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan Malaysia dan Filipina dan mereka berlatih dengan hanya 13 pemain sepanjang tempoh kalendar antarabangsa Fifa sebelum pemain-pemain itu menyertai latihan pada Khamis.

Meskipun tewas, Kuljanac berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan para pemainnya meskipun nasib tidak menyebelahi mereka selepas tewas secara dramatik pada minit akhir masa tambahan 30 minit.

Pengendali Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac

“Kami hanya mempunyai masa sehari untuk melakukan persiapan menjelang aksi ini kerana kehilangan tujuh pemain tetapi mereka menunjukkan semangat luar biasa untuk membantu kelab dalam saingan ini.

“Saya bercakap kepada pemain-pemain kebangsaan ini adakah mereka boleh bermain dan mereka sendiri yang menyatakan kesediaan mereka beraksi dan saya perlu memuji semangat mereka yang berjuang habis-habisan.

“Kami menguasai permainan tetapi dalam bola sepak, jika anda tidak menjaringkan gol dan melakukan kesilapan, anda akan dihukum dan kini kami telah tersingkir dari saingan musim ini,” jelasnya dalam sidang media selepas perlawanan.

Haqimi Azim sumbang gol pertama buat KL City

Finalis musim lalu itu perlu menyalahkan diri sendiri selepas gagal mempertahankan kelebihan yang dimiliki pada babak pertama dengan terlepas beberapa peluang selain digagalkan oleh keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Selepas tersingkir dari saingan, Kuljanac kini akan menumpukan perhatian kepada saingan Liga Super dan dia yakin pasukannya mampu bangkit mencari kemenangan pertama musim ini.