PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K.Devan mengakui persiapan pasukannya sedikit terjejas berikutan proses menandatangani pemain import yang lewat menjelang aksi pembukaan Liga Super pada 26 Februari depan.
Setakat ini, NSFC telah berjaya mendapatkan khidmat dua pemain import, Herold Goulon yang dikekalkan dalam pasukan dan Levy Madinda yang dipinjam dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan masih menunggu keputusan daripada pihak pengurusan sama ada boleh menambah jumlah pemain import.
Namun begitu Devan berpuas hati dengan persiapan pasukannya yang menyaksikan pemain tempatan menunjukkan aksi yang cukup baik serta mempunyai persefahaman yang baik ketika di dalam padang.
“Memang kita sudah muktamadkan dua pemain import iaitu Goulon dan Levy yang kita pinjam dari JDT. Masih ada sembilan hingga 10 hari lagi sebelum permulaan liga dan kita akan cuba kenal pasti beberapa lagi pemain dan kemungkinan akan menambah bilangan pemain import jika ada peruntukan tambahan dari pihak pengurusan.
“Secara peribadi sebagai jurulatih, saya memerlukan pemain import untuk saingi pasukan elit lain dalam Liga Super. Rata-rata pasukan mempunyai banyak pemain import dan ini akan beri kelebihan kepada mereka. Saya tidak perlukan sehingga sembilan pemain tetapi enam atau tujuh orang sudah memadai.
“Kami sedikit ketinggalan dalam persiapan pemain import dan jika kami berjaya menambah bilangan pemain, mereka pasti lambat untuk sesuaikan diri dan ini kurang baik bagi kita tetapi pasukan terpaksa lalui dan ini adalah yang terbaik,” kata Devan.
Negeri Sembilan yang turun buat pertama kali dengan pemain import sepanjang kempen pramusim tahun ini dilihat mempunyai perubahan di bahagian pertahanan dan tengah selepas diisi oleh tonggak import.
Devan juga mahukan para pemain senior tempatan untuk memberikan aksi terbaik berdasarkan pengalaman yang ada pada mereka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal yang perlu dilakukan berdasarkan lawan yang bakal ditemui.
“Kehadiran Goulon banyak bawa perubahan di pertahanan dan Levy juga banyak membantu barisan tengah. Jika kita mempunyai pemain import berkualiti kita tidak akan ada masalah dengan aksi mereka manakala pemain tempatan pula menunjukkan aksi dan persefahaman yang sangat baik.
“Kami juga perlu mempunyai beberapa strategi untuk bermain dengan import yang ada dan beberapa pertukaran taktikal perlu dilakukan mengikut kesesuaian. Zaquan, Shahrel dan Mahali mempunyai pengalaman dan mereka faham tentang cara saya mengendalikan pasukan dan saya yakin mereka akan beri yang terbaik kepada Negeri Sembilan FC,” tambahnya.
Negeri Sembilan FC berjaya mengikat naib juara Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City FC 1-1 dalam perlawanan persahabatan pramusim di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras selepas sebelum ini menang ke atas Perak dan juara Piala Harapan, Penang FC.