SERAMAI 29 pemain dipanggil Kim Pan Gon untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bermula 29 November ini.
Ia sebagai persiapan awal kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 dengan menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Kemboja dan Maldives, pada 9 dan 14 Disember 2022.
Pada asalnya, seramai 41 pemain berada dalam senarai panggilan tetapi selepas perbincangan dan persetujuan bersama yang telah dicapai antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Pan Gon dan kelab-kelab terlibat, 12 pemain tidak dapat menyertai kem latihan tersebut atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan.
“FAM mengucapkan terima kasih kepada para pemain yang sudi menerima panggilan skuad kebangsaan bagi kem latihan kali ini, biarpun ia di luar jendela FIFA dan pada penghujung musim bola sepak yang panjang di mana ia adalah masa untuk bersama keluarga.
“FAM juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kelab yang terlibat atas kelulusan mereka untuk melepaskan pemain masing-masing, sekali gus memberi peluang kepada pemain terbabit menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 ini,” kata kenyataan rasmi FAM pada Rabu.
Siaran Media: Senarai 29 Pemain Ke Kem Latihan Pusat Harimau Malaya Bermula 29 November 2022
▶️ Baca penuh di https://t.co/b6Ycqpp2Xo#FAM #HarimauMalaya #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/IhzWjoq7cd
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 23, 2022
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Seterusnya Pan Gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.
Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, saingan separuh akhir akan berlangsung pada 6/7 Januari 2023 dan 9/10 Januari 2023 manakala final pula dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023, semuanya secara timbal balik.
Selepas pertandingan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, Pan Gon sedang mempersiapkan pasukan menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026 bermula tahun depan dan juga Piala Asia 2023 di Qatar nanti.