TIGA atlet negara yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 mengalami kecederaan ketika persiapan untuk temasya sukan berprestij itu giat dijalankan.
Atlet yang mengalami kecederaan ialah Nur Shazrin (sukan layar), Muhammad Shah Firdaus Shahrom (berbasikal trek) dan Lee Zii Jia (badminton).
Perkara itu disahkan oleh Chef de Mission (CdM) Malaysia ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika majlis ramah mesra CdM Paris 2024 bersama atlet di Petaling Jaya.
Ketiga-tiga atlet itu mampu bersaing di Perancis pada bulan Julai ini jika proses pemulihan berjalan dengan lancar.
“Shahzrin akan menjalani pemeriksaan MRI (pengimejan resonans magnetik) esok oleh pegawai ISN. Beliau mengalami kecederaan di pergelangan tangan.
“Shah Firdaus pula mengalami kecederaan di bahu kiri, ia merupakan kecederaan lama dan bukan yang terbaharu. Beliau juga akan menjalani proses pemulihan esok.
“Manakala Lee Zii Jia pula mengalami kecederaan ringan dan tidak serius. Perkara itu disahkan sendiri oleh pasukan fisioterapi Lee Zii Jia sendiri,” katanya.
Hamidin turut menambah bahawa atlet-atlet negara perlu memasuki kejohanan antarabangsa agar mereka dapat mengekalkan kecergasan untuk bersaing di Paris.
“Dalam tempoh dua bulan yang mendatang ini, mereka perlu masuk kejohanan untuk mengekalkan kecergasan serta prestasi yang baik.
“Namun keadaan mereka perlu dijaga agar mereka tidak mengalami kecederaan di saat akhir nanti,” ujarnya lagi.
Sebanyak 18 atlet yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, merangkumi tujuh buah sukan.
Jumlah akhir atlet negara yang bertanding di Paris dijangka akan ketahui pada 4 Julai depan.