PERSIAPAN pasukan nombor satu Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) menghadapi saingan 2023 makin rancak setelah menerima tajaan daripada Terengganu Incorperated (Inc). Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd. Izmuddin Che Ku Mahmood, berkata, tajaan bernilai RM2 juta itu bakal membantu pasukan itu melaksanakan rancangan besar musim depan.
Beliau menjelaskan, TSG mahu meluaskan pengaruh di Eropah dengan membuka pengkalan kedua di benua itu selepas Turkiye iaitu di Girona, Sepanyol, tidak lama lagi.
“Sejak TSG berpengkalan di Turkiye pada 2021, kami mengutip banyak mata melalui siri perlumbaan berstatus 1.1, 1.2, 2.1 dan 2.2 di Eropah selain latihan berintensiti tinggi di sana.
“Jadi TSG mahu meneruskan momentum itu. Kira ‘serampang dua mata’ juga kerana kita akan berlatih dan menyertai lebih banyak perlumbaan di benua itu bersama pasukan profesional lain.
“Selain itu juga, penajaan ini membuktikan TSG masih mampu menarik pelaburan domestik dan antarabangsa walaupun sektor ekonomi sedang terjejas ketika ini,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.
Tambah beliau, pihaknya yakin TSG akan mengekalkan kedudukan pertama Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berbaki empat siri perlumbaan musim ini.
Sementara itu Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed@Harun, berkata, tajaan tahun kelima itu telah menaikkan imej pihaknya dengan lebih meluas.
“Musim ini kami menaja TSG dengan jumlah tajaan RM1.5 juta namun jumlah itu dinaikkan kepada RM2 juta kerana kami gembira dengan pencapaian diraih TSG,” jelasnya.