PENGURUSAN Persib Bandung mengecam sekeras-kerasnya individu Bobotoh yang memukul steward atau petugas keselamatan perlawanan semasa perlawanan menentang Persija Jakarta pada Isnin.
Persib berjaya meraih kemenangan 2-0 ke atas Persija dalam aksi Liga 1 di Stadium Si Jalak Harupat, Soreang, Kabupaten Bandung.
Bagaimanapun, kemenangan Persib di laman sendiri dicemari dengan rusuhan penyokong yang tidak bertanggungjawab. Selepas perlawanan tamat, beberapa Bobotoh (penyokong Persib) turun padang dan menyerang steward.
Daripada video yang tular di media sosial, terdapat beberapa lelaki yang menjadi mangsa pukul di tepi padang.
Rusuhan itu berlarutan kira-kira 15 minit sebelum berjaya dikawal oleh pasukan keselamatan termasuk Polis dan TNI.
TETAP KAWAL EUY! USUT TUNTAS! PERSIB pic.twitter.com/dDdzgAm62t
— BANDUNG FESS (@BaseBDG) September 23, 2024
Pengurusan Persib melahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap segelintir penyokong yang melancarkan serangan terhadap steward. Pihak pengurusan turut meminta pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap pelaku serangan tersebut.
“Persib tidak boleh bertolak ansur dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan individu-individu penyokong yang memukul dan bertindak di luar batas undang-undang terhadap steward yang sedang bertugas.
“Sehubungan itu, Persib menyokong penuh tindakan pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden malam ini dan mengambil tindakan tegas ke atas pelaku mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” tulis kenyataan tersebut.
Wakil Persib juga mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan PT Liga Indonesia Baru (LIB) selaku penganjur Liga 1. Kelab berjanji akan bertindak lebih tegas untuk memastikan stadium kekal selamat dan selesa untuk semua pihak.
PERSIB Mengecam Insiden Penyerangan Steward
Seluruh pemain, pelatih, ofisial dan manajemen PERSIB sangat sedih, kecewa dan merasa terpukul atas insiden penyerangan secara brutal yang dilakukan oleh oknum-oknum penonton yang tidak bertanggung jawab kepada beberapa steward yang… pic.twitter.com/nwMY42nyYc
— PERSIB (@persib) September 23, 2024
PSSI turut memberi maklum balas terhadap kes pemukulan steward oleh segelintir penyokong. Selain meminta pihak polis mengambil tindakan tegas, PSSI juga menegaskan bahawa kelab perlu turut bertanggungjawab dalam menyelesaikan punca sebenar masalah ini.
“Kes ini sudah masuk dalam bidang undang-undang, dan ia perlu diselesaikan melalui saluran perundangan. Namun begitu, kelab juga harus bertanggungjawab terhadap keadaan ini. Mereka tidak boleh lepas tangan begitu sahaja,” ujar Arya, jurucakap PSSI.
“Kami berharap kelab dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera, termasuk memperbaiki hubungan mereka dengan penyokong. Selain itu, sekiranya terdapat unsur jenayah, tindakan yang sewajarnya mesti diambil mengikut undang-undang,” tambah Arya.