OOI Tze Liang cabar penerjun muda kebangsaan pertahan pingat emas di temasya Sukan Sea Kemboja khususnya dalam acara tiga meter papan anjal.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow itu berkata, walaupun sukan terjun menjadi lubuk emas di temasya serantau itu, dia tetap mahu mengingatkan agar penerjun muda negara, agar tidak mengambil sikap sambil lewa sepanjang saingan bagi mengekalkan legasi Malaysia di Sukan Sea.
“Saya rasa mereka (Syafiq dan Gabriel) kena berusaha lebih keras, nak ganti tempat saya kena menang dahulu.
“Memang menjadi tanggungjawab saya mencurahkan usaha keras 100 peratus apabila menandatangani kontrak dan terima elaun sebagai atlet, jadi kepada ‘budak’ bawah saya, mereka kena lihat apa lagi yang perlu dipertingkatkan, kalau mereka hanya sasarkan nak pergi Sukan Sea, mereka tidak akan pergi jauh, mereka perlu sasar lebih tinggi.
“Senang tak senang, saya bagi mereka menjawabnya, yang penting kalau saya larat lagi, saya akan berikan usaha habis-habisan,” katanya, ditemui pada Kejohanan Terbuka Malaysia kali ke 58 yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Ooi Tze Liang menjuarai acara 3 meter papan anjal Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia ke-58 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini. Pix: Clement/Malaysia Swimming
Pada kejohanan itu, Tze Liang membuktikan masih berada dalam kelas tersendiri apabila mengungguli acara tiga meter papan anjal.
Atlet kelahiran Pulau Pinang itu berjaya menewaskan lima lagi pencabar, termasuk Syafiq Puteh yang tercari-cari rentak bagi menghadapi Sukan Sea Kemboja yang akan berlangsung 5 hingga 17 Mei depan.
Tze Liang mengumpul mata keseluruhan 452.35 mata, meraih pingat emas, meninggalkan jauh rakan sepasukan, Chew Yi Wei di tempat kedua dengan catatan 407.10 mata. Syafiq pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila mengumpul keseluruhan 402.70 mata.
Gabriel-Yi Wei menjuarai acara 3 meter terjun seirama papan anjal Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia ke-58 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini. Pix: Clement/Malaysia Swimming
Sementara itu, atlet terjun wanita negara, Kimberly Bong menepati ramalan untuk memenangi acara tiga meter papan anjal wanita dengan catatan 280.35 mata. Pingat perak milik rakan senegara, Ong Ker Ying yang meraih 252.60 mata, sementara pingat gangsa diraih atlet Singapura, Alycia Lim yang mengumpul 171.30 mata.
Dalam acara terjun seirama lelaki, Gabriel beraksi baik dengan Yi Wei untuk meraih pingat emas dengan catatan 341.49 mata, mengatasi penerjun Singapura, Ayden Ng dan Kenji Tan yang melakar catatan 258.45 mata. Pingat gangsa milik penerjun muda Sarawak, Awang Shazrzan Nasrin-Soh Tze Kang.